Empat mangsa remaja bawah umur yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di sebuah kilang haram memproses logam di Klang berjaya diserbu dan diselamatkan oleh poli.- Gambar iIhsan Unit ATIPSOM JSJ Bukit Aman.

KLANG – Empat remaja warga asing bawah umur termasuk seorang perempuan disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang berjaya diselamatkan oleh polis di sebuah kilang haram yang memproses logam terpakai di Teluk Gong semalam.

Kesemua mereka diselamatkan dalam serbuan di sebuah kilang haram yang memproses logam terpakai, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus.

Menurutnya,, premis perindustrian haram itu digempur  lebih kurang pukul 3.30 petang  oleh anggota ATIPSOM Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Tenaga Kerja, Semenanjung Malaysia.

Fadil Marsus

“Hasil serbuan dan disusuli pemeriksaan di kilang terbabit pasukan operasi ATIPSOM berjaya menyelamatkan seramai empat mangsa warga Myanmar bawah umur termasuk seorang perempuan yang berusia 17 tahun.

“Hasil siasatan awal di lokasi serbuan mendapati kesemua empat mangsa bekerja secara paksaan antara dua hingga lima bulan lalu di kilang haram yang beroperasi sejak dua tahun lalu.

“Dalam serbuan sama juga polis turut berjaya melakukan tangkapan ke atas seramai 40 warga asing termasuk 10 wanita berusia antara 21 hingga 45 tahun yang bekerja di kilang itu,” katanya kepada MalaysiaGazette malam tadi.

Tambah Fadil, pemeriksaan  ke atas kesemua suspek bekerja di kilang haram itu tanpa sebarang dokumen yang sah.

Empat mangsa remaja bawah umur yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di sebuah kilang haram memproses logam di Klang berjaya diserbu dan diselamatkan oleh polis petang Khamis. – Gambar ihsan Unit ATIPSOM JSJ Bukit Aman.

Kesemua warga asing yang ditahan di kilang itu terdiri seorang warga Bangladesh, 26 lelaki dan lapan perempuan warga Myanmar, dua lelaki warga Nepal dan satu lelaki serta dua perempuan Kemboja.

Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) ini dikesan bekerja di kilang haram ini sejak setahun lima bulan yang lalu.

“Dalam serbuan sama, pasukan ATIPSOM juga berjaya menahan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 21 dan 31 tahun yang merupakan pengurus dan pembantu pengurus di kilang haram itu,” katanya.

Tegas Fadil, fokus operasi berkenaan adalah untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indocators (NGHTI).

Kesemua yang ditahan itu akan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda 1966, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63.

“Pada masa yang sama, D3 JSJ Bukit Aman akan terus memantau dan menjalankan risikannya bagi mengenal pasti lokasi-lokasi yang wujudnya aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di seluruh negara,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast