Temubual bersama Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Dr Mardian Shah Omar mengenai pelajar-pelajar dari China melanjutkan Sarjana Pengajian Melayu di Universti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Bidang Pengajian Melayu tidak terhad kepada pembelajaran yang berkaitan tentang bahasa atau pantun mahupun peribahasa sahaja namun bidang ini kini bergerak seiring dengan ledakan teknologi tinggi dalam kehidupan.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya, Dr Mardian Shah Omar berkata, selain pelajar diajar dengan mengunakan media sosial seperti TikTok, terutamanya dalam aspek pembelajaran bahasa, ia juga melibatkan pengkhususan dalam bidang linguistik terapan yang lebih luas.

Menurut beliau, melalui linguistik terapan, pelajar boleh mengenal pasti dan mengecam suara seseorang dan ini membuatkan mereka berasa seronok kerana generasi muda hari ini lebih mengingin sesuatu ilmu yang lebih ke depan.

“Menerusi pengkhususan dalam bidang linguistik, pelajar didedahkan bagaimana mereka dapat mengenal pasti dan mengecam suara penjenayah ataupun scammer dan kajian seperti inilah yang perlu kita lihat sekarang.

“Apabila ada pendedahan ini mereka akan rasa lebih seronok dan tidak terhad kepada aspek yang lama dan ini menyebabkan pelajar sarjana muda tahun satu di APM bukan sahaja majoritinya datang dari Tingkatan Enam tetapi kini APM turut menjadi pilihan pelajar dari program asasi, matrikulasi dan diploma.

“Ini menunjukkan mereka juga ada pendedahan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Melayu terutamanya dalam pengkhususan linguistik yang datang dari program asasi sains,” katanya ketika ditemu bual Malaysia Gazette di APM di sini baru-baru ini.

Temubual bersama Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Dr Mardian Shah Omar mengenai pelajar-pelajar dari China melanjutkan Sarjana Pengajian Melayu di Universti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OGOS 2023.

Mengulas lanjut, Mardian Shah menambah, pelajar kini teruja mempelajari Pengajian Melayu kerana ia melibatkan aspek sains seperti fonetik iaitu bagaimana pertuturan itu meliputi aspek klinikal dan hubungannya dengan organ-organ pertuturan tersebut.

Jelas beliau, ini menyebabkan mereka seronok dan dapat mempelajarinya secara lebih mendalam dan dikaitkan pula dengan aspek forensik. Ini menjadikan kajian fonetik forensik ini amat menarik untuk diteroka pada masa ini dan akan datang.

“Dalam kehidupan melangkah ke status negara lebih maju dan berteknologi tinggi, masyarakat hari ini masih memerlukan aspek kemanusiaan menerusi bidang sains sosial.

“Justeru, dua aspek itu perlu bergerak selari supaya elemen Malaysia Madani itu dapat diterapkan, iaitu dari segi keharmonian dan kesejahteraannya perlu ada dalam kalangan sarjana sains sosial ini dalam membuat kajian atau penyelidikan.

“Bidang sains itu akan melihatkan aspek teknologi dan sebagainya, jadi perlu bergerak serentak bukan sahaja untuk mencapai negara maju dalam teknologi tetapi melahirkan masyarakat yang beretika dan harmoni,” katanya.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Dr Mardian Shah Omar bersama Pelajar Sarjana Pengajian Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, dari kiri, Jamilah (nama panggilan) Yifan Gao, Cahaya (nama panggilan) Mai Jiayu, Mahirah (nama panggilan) Fuyi Zhou mengenai pelajar-pelajar dari China melanjutkan Sarjana Pengajian Melayu di Universti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OGOS 2023.

Sementara itu, APM telah ditubuhkan pada tahun 1990 hasil daripada Laporan Lembaga Pengajian Mengenai Akademi Pengajian Melayu.

Pada masa itu, akademi itu memberi tumpuan kepada kegiatan penyelidikan, penerbitan dan pendokumentasian iaitu sebagai pelengkap kepada fungsi yang dijalankan oleh Jabatan Pengajian Melayu (JPM) di Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Pada 14 Julai 1995, Jabatan Pengajian Melayu dan Akademi Pengajian Melayu bergabung dengan rasminya untuk menjadi satu institusi akademi di Universiti Malaya.

Kegiatan utama APM terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Bahagian Ijazah Dasar dan Bahagian Ijazah Tinggi Penyelidikan. Setiap bahagian pula mempunyai jabatan-jabatannya sendiri.

Jabatan-jabatan dalam Bahagian Ijazah Dasar ialah Jabatan Bahasa Melayu, Jabatan Sosio-Budaya/Kesenian Melayu, Jabatan Linguistik Melayu dan Jabatan Kesusasteraan Melayu. Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan merangkumi Penyelidikan, Dokumentasi dan Penerbitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast