KUALA LUMPUR – Parti Bumitputera Perkasa Malaysia (Putra) mencadangkan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menentukan kesahihan kebenaran isu melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, daripada sudut perundangan, RCI dilihat sebagai telus dalam semua aspek dengan tidak meninggalkan setitik keraguan.
Menurut beliau, RCI sudah menjadi keperluan terdesak kerana DNAA Ahmad Zahid sudah menjadi isu nasional dan mendapat laporan berita dunia yang amat negatif terhadap imej negara.
“Ianya amat memalukan. Tambahan pula, laporan penyiasatan RCI akan menentukan kebenarannya dan pasti dapat mengembalikan integriti Pejabat Peguam Negara, kehakiman, mahkamah dan kerajaan Madani terutama Perdana Menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pasti dunia akan kembali menghormati Malaysia sebagai negara bermaruah, walk the talk dan rakyat juga akan reda serta berlapang dada,” katanya di sini, hari ini.
Ibrahim berkata, RCI itu perlu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara yang dilihat berintegriti dengan ahli dalam kalangan profesional dan wajar sekali dianggotai seorang dari luar negara.
Beliau berharap, Anwar dan kerajaan mempertimbangkan cadangan Putra dengan menubuhkan segera RCI.
“Putra adalah parti bertunjangkan integriti, bermoral dan benar-benar menjunjung Keluhuran Undang-Undang dan Perlembagaan Negara.
“Doktrin parti ini adalah kepentingan negara dan rakyat secara hakiki serta ajaran Allah adalah panduannya. Tiada hipokrit dan bersifat munafik,” katanya.
Kata beliau, kerajaan perlu mengambil berat cadangan itu kerana polemik isu DNAA Ahmad Zahid belum reda dan menjadi topik hangat dibincangkan pelbagai lapisan masyarakat baik di warung, rumah, pejabat dan sebagainya.
Malah, ujar beliau, ia juga kecoh di Dewan Rakyat apabila Anwar memberi penjelasan yang semakin mengelirukan Ahli Parlimen.
“Bermacam forum juga telah diadakan termasuk anjuran media sosial dengan pelbagai profesion ahli panel sama ada peguam mahupun dan ahli politik.
“Namun, belum ada kesudahannya, malah umpama guruh terus berbunyi tetapi hujan tidak turun. Maknanya tiada jawapan muktamad yang tidak boleh dipersoalkan lagi, di mana semua pihak mesti terima dengan berlapang dada,” kata beliau. – MalaysiaGazette