Calon Bebas N36 Pelangai, Haslihelmy Dm Zulhasli hadir bagi menyerahkan borang penamaan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Pelangai. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2023.

BENTONG – Keahlian UMNO Haslihelmy DM Zulhasli yang bertindak bertanding calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai digugurkan secara automatik.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelucutan keahlian itu berkuatkuasa serta merta hari ni.

Haslihelmy merupakan Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bentong yang juga Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang mendaftar sebagai calon bebas menggunakan logo kereta pada penamaan calon hari ini.

“Walaupun beliau menjadi calon bebas, secara automatik mulai hari ini keahlian beliau digugur sebagai ahli UMNO,” kata Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Beliau ditemui media di perkarangan Pusat Penamaan Calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul pagi tadi selepas mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam.

Pada pukul 9.05 pagi Haslihelmy dilihat tiba di pusat penamaan calon sekitar dengan bersongkok dan berbusana Melayu kelabu dan menghantar kertas pencalonan pukul 9.07 pagi.

Sebelum ini MalaysiaGazette ada melaporkan anak jati Bentong itu nekad bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi DUN Pelangai.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu. – MalaysiaGazette