GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan tindakan mentafsir al-Quran sewenang-wenangnya ibarat mempermainkan kalam Allah dan tidak boleh diterima sama sekali.
Tegas beliau, pelaku yang bertindak sedemikian juga boleh didakwa di mahkamah kerana menghina agama Islam.
“Al-Quran merupakan wahyu Allah terakhir dan muktamad diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW dalam Bahasa Arab yang merupakan satu bahasa kompleks di samping mengandung makna-makna luas dan rencam.
“Ia merupakan sebuah kitab hidayah Ilahi yang memandu manusia ke jalan benar serta membimbing mereka ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
“Khazanah ilmu pengetahuan yang tersimpan di dalam khazanah al-Quran adalah ibarat lautan yang tidak bertepi dan tidak pernah kering,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Wan Salim, tafsir pula adalah usaha menjelaskan maksud ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran.
Kata beliau, dari sudut tersebut pentafsir mestilah menguasai selok belok bahasa Arab daripada aspek nahu, saraf, balaghah dan ‘arudhnya serta mengetahui ‘asbab nuzul’ yakni konteks penurunan ssesuatu ayat agar tafsiran tidak menyimpang daripada maksud yang sebenarnya.
“Jadi, berdasarkan keterangan di atas, kita tidak dapat menerima mana-mana individu sama ada Muslim atau bukan Islam yang tidak memiliki kelayakan daripada sudut keilmuan untuk mentafsirkan kitab suci ini.
“Mentafsirkan al-Quran dengan sewenang-wenang seolah-olah mempermainkan kalam Allah yang tidak boleh diterima sama sekali dan pelakunya boleh didakwa di mahkamah kerana menghina agama Islam,” katanya.
Media semalam melaporkan polis akan menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran menerusi video tular baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette
Agak sedikit terlambat tapi ok la, tapi mana pula yang lain?
Untuk pengetahuan rakyat marhein bawahan sangat mendambakan pandangan ketua2 agama Islam disetiap negeri2. Mereka memikul ranggungjawab yang sangat besar.
Peace.
Apa kata kerajaan buat suatu dialog siaran lansung diantara Mamat yang suka2 nak tafsir Al Quran tanpa ilmu dengan Dr Zakir Naik, seorang warganegara Malaysia yang sangat alim, pakar dalam ilmu perbandingan agama.
Lagi pun rata2 rakyat sangat rindu kepada Dr Zakir dan sangat mendambakan ilmu2 darinya. Dr Zakir difahamkan telah banyak mengIslamkan peminat2nya tanpa publisiti berlebih2an.
Boleh disiarkan melalui rtm, tvalhijrah atau astro. Rakyat tertunggu2, peace.