PUCHONG – Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia (MTLOA) menggesa kerajaan mengemaskini undang-undang yang mengawal had muatan kenderaan berat di negara ini dengan memperkenalkan garis panduan baharu prosedur operasi standard (SOP).
Pengerusinya, Datuk Michael Loo Leep Chye berkata, ini kerana kemampuan semasa lori bertayar 10 dan 12 boleh membawa lebihan berat dengan selamat berbanding muatan 24 dan 30 tan yang dibenarkan ketika ini.
“Ada keperluan untuk mengemas kini undang-undang ini kerana kebanyakan lori sebenarnya mampu membawa berat 30 tan (10 tayar) dan 45 tan (12 tayar) dengan selamat.
“Pada masa ini, jika kita mengikut undang-undang yang sedia ada, lori bertayar 10 tidak akan dapat mengisi separuh muatannya dengan berat kargo sembilan tan.
“Lori ini mempunyai berat sekitar 11 dan 13 tan tanpa muatan bermakna jika kita mengikut undang-undang semasa pemandu lori hanya boleh membawa kira-kira sembilan tan secara sah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MTLOA di sini hari ini.
Michael Loo menambah, ramai pengusaha kenderaan berat itu kini buntu kerana jika mereka mengisi muatan lori sehingga penuh, had muatannya pasti akan terlebih.
“Ada keperluan mendesak untuk kita duduk bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya bagi mencari situasi menang-menang untuk semua.
“Kita telah mengadakan pelbagai pertemuan dan dialog dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Kerja Raya tetapi ia tidak menjadi kenyataan,” katanya.
Michael Loo menambah, sekiranya undang-undang semasa dikuatkuasakan ke atas had berat yang dibenarkan, setiap lori hanya boleh antara sembilan dan 15 tan sahaja yang seterusnya akan meningkatkan kos operasi.
Menurut beliau, ia sudah pasti akan menyebabkan kenaikan caj yang dikenakan kelak.
“Kami telah bekerjasama dengan JPJ sejak 2021 untuk mencari penyelesaian tetapi Jabatan Kerja Raya menolak cadangan kami untuk menaikkan had berat berdasarkan hujah bahawa jalan raya di Malaysia tidak dapat menahan beban melebihi had berat yang dibenarkan.
“Jabatan itu juga memberitahu mereka tidak mempunyai bajet yang mencukupi untuk membaiki jalan yang rosak akibat lori yang lebih muatan,” katanya.
Michael Loo menjelaskan, pengusaha lori tidak meminta diberikan keutamaan dalam layanan namun mereka memohon dilayan secara adil.
Ini kerana kata beliau bagaimana mereka mahu mencari rezeki sedangkan tidak dibenarkan membawa muatan mengikut spesifikasi sebenar lori itu.
“Saya boleh memberitahu anda sekarang bahawa, jika lori kami memiliki muatan penuh, pemandu akan dianggap terlebih muatan,” katanya. – MalaysiaGazette