NIBONG TEBAL – “Dua saksi perlu ada ketika pelajar dikenakan hukuman atas kesalahan disiplin sudah termaktub dalam garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata demikian menjawab cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang meminta KPM meneliti saksi terdiri daripada guru wajib ada ketika pelajar dikenakan hukuman rotan di sekolah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Menurut Fadhlina, pihaknya sentiasa akan pertegaskan garis panduan tersebut bagi memastikan semua warga pendidik mematuhinya.
“Sebenarnya kita ada garis panduan yang mana dua saksi perlu ada ketika guru melaksanakan hukuman terhadap pelajar.
“Semalam kita dah luncurkan dua garis panduan penting iaitu garis panduan pengurusan kes buli dan juga gangguan seksual.
“Selepas ini sidang atau sesi libat urus akan diperhebatkan untuk pastikan isu seperti ini dapat kita tangani khususnya memberikan kecaknaan bagaimana proses dan garis panduan itu perlu dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Multidimensi Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh di sini, hari ini.
MalaysiaGazette pada 14 September lalu melaporkan seorang pelajar Tingkatan Lima cedera di mata akibat dirotan guru di sebuah sekolah di Sungai Ara selepas ditangkap menghisap vape dalam kelas.
Bagaimanapun, kes tersebut selesai dengan cara baik selepas pihak keluarga dan sekolah melakukan perbincangan.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kebakaran Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Kandu di Bukit Mertajam di sini, Fadhlina berkata, Jabatan Pendidikan Negeri mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan sesi pembelajaran pelajar di berjalan meskipun sekolah memerlukan masa untuk membaiki bangunan tersebut.
“Kita sudah turun ke lokasi dan lihat keadaan sekolah tersebut dan pihak bomba meminta sedikit masa untuk siapkan laporan forensik dan lain-lain.
“Bagaimanapun, soal pendidikan anak-anak ini perlu diteruskan dalam apa cara sekali pun dan itu merupakan komitmen utama kita,” katanya. – MalaysiaGazette