Meor Mohd Hilmi Meor Zainun

KUALA LUMPUR – Kerajaan terutama institusi Parlimen perlu melihat semula dengan menambah baik beberapa perkara berkaitan syiar Islam dalam upacara angkat sumpah jawatan dan sebagainya.

Ini sesuai dengan Malaysia sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Ketua Penerangan Pergerakan Wira Putra, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun berkata, isu yang berbangkit ketika ini ialah ketiadaan kalimah Allah dalam lafaz ikrar atau angkat sumpah jawatan bagi Ahli Parlimen.

Beliau berkata, walaupun tiada peruntukan dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang mewajibkan penggunaan kalimah ‘Wallahi Wabillahi Watallahi’, namun kerajaan perlu membuat pindaan supaya ia dimasukkan dalam lafaz angkat sumpah.

“Sebagai sebuah negara yang perlembagaannya jelas meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, tidak sepatutnya teragak-agak untuk meletakkan lafaz sumpah dengan nama Allah sebagai kewajipan.

“Melainkan jika kepimpinan di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak mahu mengangkat syiar Islam untuk dijadikan suri tauladan kepada dunia.

“Atau kerajaan bercita-cita menjadikan figura seperti bapa sekular liberalisme Turkiye Kamal Attaturk dan mahu menjadi sepertinya?,” soal beliau menerusi kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Menurut Meor Mohd Hilmi, telah menjadi tanggungjawab umat Islam mengangkat syiar agama di serata dunia termasuk dalam Dewan Rakyat.

Justeru, beliau memohon Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk meneliti serta campur tangan bagi menetapkan penggunaan kalimah Allah dalam upacara mengangkat sumpah di Dewan Rakyat termasuk Dewan Negara.

Ini, katanya, bagi memastilkan semangat dan syiar Islam itu terus bersinar serta terlihat di negara ini.

Pada 19 September lalu, Dewan Rakyat dikejutkan dengan teguran Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim apabila Ahli Parlimen Pulai yang baharu, Suhaizan Kaiat menganggkat sumpah tanpa melafazkan nama Allah.

“Sedangkan, menjadi kelaziman, setiap Ahli Parlimen beragama Islam apabila mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat akan melafazkan kalimah ‘Wallahi Wabillahi Watallahi’.

“Namun, tradisi itu telah dipecahkan sendiri oleh seorang Ahli Parlimen yang beragama Islam dan Wira Putra melihat seperti terdapat usaha memadam serta meliberalisasikan agama,” katanya. – MalaysiaGazette