HANGZHOU – Atlet taekwondo negara Nurul Hidayah Abdul Karim tidak dapat menahan kekecewaannya selepas dinafikan pingat bagi acara poomsae individu wanita, yang mungkin menjadi pingat pertama Malaysia pada Sukan Asia kali ini di Pusat Sukan Lin`an, lebih kurang 70km daripada Bandaraya Hangzhou.
Pada aksi suku akhir menentang pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2013 Marjan Salahshouri dari Iran, atlet negara berusia 25 tahun itu hanya tewas berdasarkan 0.03 mata mengikut markah bagi persembahan selepas kedua-dua mereka terikat dengan 7.780 mata purata.
Pada persembahan pertama, Nurul Hidayah tewas apabila meraih 7.740 mata berbanding Marjan yang meraih 7.780 mata, namun pada persembahan kedua atlet kelahiran Bintulu, Sarawak itu mengatasi lawannya dengan keputusan 7.820 mata berbanding lawannya 7.780 mata.
Namun, jurulatih kebangsaan Jin Jun Beom percaya Nurul Hidayah sepatutnya mara ke separuh akhir kerana mendakwa atlet dari Iran itu telah melakukan kesalahan pada persembahan pertamanya.
Jin kemudian cuba membuat protes terhadap keputusan tetapi ia tidak dapat mengubah keputusan yang kekal berpihak kepada Marjan, pemenang pingat perak edisi 2018 Jakarta-Palembang, yang terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas tewas Yuiko Niwa dari Jepun pada separuh akhir.
Nurul Hidayah yang ditemui pemberita selepas itu tidak dapat menahan kesedihannya kerana sekiranya mara ke separuh akhir, sekurang-kurangnya pingat gangsa berada dalam genggaman selepas Sara Yap turut meraih gangsa pada edisi lepas, juga setelah tewas kepada Marjan pada separuh akhir.
“Saya tak berapa lihat aksinya kerana fokus pada diri sendiri, tetapi apabila markah poomsae pertama keluar, saya pelik sebab markah dia tinggi kerana saya tidak buat kesilapan, tapi dia ada tidak seimbang sedikit, namun markah tinggi.
“Poomsae adalah acara subjektif, selalunya ada baik dan buruk, bukan macam bertanding ada penderia pada badan. Format satu lawan satu ini jarang digunakan, biasanya lapan atlet masuk sekali, persembahkan seorang-seorang,” kata Nurul Hidayah.
Jin pula terpaksa pasrah protesnya tidak diterima, kerana keputusan yang dibuat adalah muktamad.
“Saya nampak Hidayah telah lakukan yang terbaik tanpa sebarang kesilapan besar, tapi atlet Iran buat kesilapan besar, jadi saya rasa kita akan menang dalam acara poomsae. Tapi bila tengok keputusan, saya bercadang untuk protes jika kalah dalam pusingan kedua, tapi kita menang dan mata sama, kita kalah 0.03 mata dalam persembahan.
“Protes tidak diterima apabila kita jumpa dengan teknikal dan pengerusi pengadil, mereka kata tidak boleh tukar keputusan, mereka hanya boleh gantung pengadil. Kami sangat sedih, tapi kita perlu bekerja lebih gigih untuk acara seterusnya, supaya tidak ada yang boleh menafikan kemenangan kita lagi,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu.
Sementara itu, Jason Loo juga terlepas slot separuh akhir selepas tewas kepada Ma Yun-zhong dari Taiwan selepas mencatatkan 7.770 mata purata berbanding lawannya yang meraih 7.950 mata.
Keputusan itu menyaksikan kempen kem taekwondo negara di Sukan Asia tamat kerana tiada atlet kyorugi (tempur) yang melepasi had kelayakan, dengan Sukan dalam Dewan Asia dan Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia tahun depan menjadi fokus mereka selepas ini.
Jason-Nurul Hidayah sebelum ini meraih perak pada Kejohanan Poomsae Taekwondo Dunia 2022 bagi acara pasukan campuran bawah 30 tahun. – BERNAMA