Kuala Lumpur KL city centre RMK12 Twelfth Malaysia Plan 12th
Pemandangan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, cadangannya supaya Kuala Lumpur (KL) dikembalikan kepada Selangor untuk membentuk Metropolitan KL adalah berlainan dengan tuntutan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terhadap Pulau Pinang.

Chean Chung berkata, kedua-duanya tidak boleh disamakan dan merupakan bandingan yang tidak sesuai.

“Muhammad Sanusi membangkitkan perkara yang sangat lama apabila sempadan negeri belum wujud sedangkan Selangor menjadi Wilayah Persekutuan pada 1974.

“Sebelum 1974, ibu negara juga merupakan KL, cumanya ia terletak dalam Selangor,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, status KL sebagai Wilayah Persekutuan pada masa itu ada munasabahnya tetapi sekarang sudah tidak berpatutan dan patut diubah.

“Sekarang, Putrajaya telah menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan kedudukan KL boleh ditentukan semula.

“Adalah wajar untuk menilai bagaimana KL dapat mempunyai hubungan saling mendukung dan saling memanfaat dengan kota-kota di Selangor,” katanya.

Mengenai pandangan netizen yang mahu masalah banjir dan kesesakan diselesaikan terlebih dahulu, Chean Chung berpendapat, pengembalian KL kepada Selangor merupakan cara untuk mengatasi  isu-isu tersebut secara holistik.

Katanya, cadangan “pengembalian” merangkumi empat perkara utama iaitu berkenaan pengangkutan, perumahan, tebatan banjir dan ekonomi.

“Jika KL dikembalikan kepada Selangor, perancangan pengangkutan akan menjadi lebih sempurna.

“Sebagai contoh, lampu lalu lintas di Jalan Templer di Selangor ke Jalan Klang Lama di KL tidak dapat diselaraskan kerana merentasi sempadan. Kontraktor memberitahu mahukan lebih RM2 juta untuk menyelesaikan penyelarasan lampu trafik.

“Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui Gombak di Selangor dan juga KL. Ini memerlukan penyelarasan unit berlainan di Selangor dan KL,” katanya.

Mengenai perumahan pula, katanya, tanah di KL yang boleh digunakan untuk pembangunan rumah mampu milik semakin berkurangan sedangkan tanah di Selangor boleh dimanfaatkan.

“Ada juga netizen yang menyebut isu banjir, pengembalian KL kepada Selangor sebenarnya diperlukan untuk mengatasi banjir secara jangka panjang,” katanya.

Katanya, dari segi ekonomi, pemisahan antara KL dan Selangor seakan-akan mengikat tangan seorang atlet semasa dia beraksi.

“Metropolitan KL pula dapat mengintegrasi sumber sekeliling dan bukannya meletak kita dalam keadaan terikat seperti sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast