PENAMPANG – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Kadazandusun Language Foundation (KLF) melancarkan penerbitan buku kerja bahasa etnik itu bagi murid Tahun 4, 5 dan 6 di Sabah.
Pelancaran Buku Kerja Bahasa Kadazandusun Tahun 4, 5 dan 6 itu sebagai usaha bersama YBR dengan KLF membantu generasi muda membudayakan bahasa ibunda mereka.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, kerajaan menghargai dua entiti itu yang begitu komited dalam ilmu pendidikan di kalangan kumpulan etnik Kadazandusun di negeri itu.
“Program ini merupakan kesinambungan dalam menerbitkan Modul Buku Kerja Bahasa Kadazandusun yang terbaik khusus kepada murid Tahun 4, 5 dan 6 bagi membantu mereka membudayakan bahasa ibunda.
“Saya sangat menghargai jasa dan kesungguhan YBR dan KLF menganjurkan Karnival Bahasa Kadazandusun dan majlis pelancaran Buku Kerja Bahasa Kadazandusun Tahun 4, 5 dan 6.
“Sesungguhnya, program ini sangat dekat di hati saya dan bahasa Kadazandusun pula adalah perjuangan peribadi saya dalam memartabatkan pendidikan negara,” katanya dalam majlis itu di di ITCC, Penampang, Sabah, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Raisin Saidin; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Kata Ewon, beliau teruja melihat modul buku itu yang dihasilkan dalam tempoh enam bulan dengan penglibatan YBR dan KLF.
Beliau mengucapkan terima kasih YBR kerana menyokong inisiatif itu dan berharap dapat menganjurkan karnival bahasa Kadazandusun pada tahun hadapan.
Sementara itu, Philip Benedict dalam ucapannya menyatakan sokongan YBR dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda di kalangan generasi muda Kadazandusun yang semakin moden dan menjadi ikutan masa kini.
Jelas beliau, penganjuran bengkel penulisan modul buku itu adalah langkah proaktif dan selari dengan inisiatif global memelihara bahasa ibunda sempena Dekad Antarabangsa Bahasa Orang Asal di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
YBR, katanya, sentiasa menyokong pendidikan negara secara holistik dan program yang dianjurkan itu memberikan impak positif kepada guru dan pelajar.
Jelas Philip lagi, kejayaan penghasilan modul buku kerja itu dapat membantu guru untuk lebih bersemangat menyampaikan ilmu kepada murid supaya terus diwarisi turun temurun.
“Usaha ini inisiatif YBR dalam mempelbagaikan cabang pendidikan serta sedikit sebanyak membantu persiapan menjadi sebahagian pelaksanaan Karnival Bahasa Kadazandusun di peringkat negeri tahun hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette