Noor Azleen Ambros bersama penerima Penyerahan Wang Pendahuluan PTPTN di majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Bukit Dahlia hari ini.

PASIR GUDANG – UMNO tidak seharusnya mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini walaupun parti itu merekodkan kemenangan  selesa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, UMNO perlu ingat bahawa DUN Pelangai merupakan kubu kuat Perikatan Nasional (PN) di pantai timur.

“PN mungkin ada kelebihan di sana. Kita perlu menghentikan gelombang hijau seperti yang berlaku (berjaya menghentikan gelombang hijau) di PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram baru-baru ini.

“Tetapi kita yakin pengundi di Pahang khususnya di DUN Pelangai bijak memilih pihak mana yang mampu mewakili mereka untuk menjadi wakil rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Serbaguna Taman Bukit Dahlia, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan PTPTN, Mohd Rusdi Ismail.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, pengundi perlu menilai kepimpinan BN di Pahang yang terbukti berkesan dan membawa banyak pembangunan diterajui Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selain itu katanya, jentera Pemuda UMNO Johor dari 26 bahagian di seluruh negeri akan membantu berkempen di PRK Pelangai lebih-lebih lagi parti yang bertanding pada kali ini adalah calon UMNO tidak seperti PRK Pulai dang Simpang Jeram.

“Kita akan ‘all out’ (bersungguh-sungguh) kali ini. Kita ada 500 sehingga 600 jentera Pemuda UMNO Johor yang akan ditempatkan di PDM (pusat daerah mengundi) angkat kita nanti. Tak boleh biarkan gelombang hijau merobek kubu kuat kita di Bentong.

“Di DUN Pelangai ada kira-kira 16,000 pengundi dengan 90 peratusnya adalah Melayu dan separuhnya berada di Felda,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast