KUALA LUMPUR – Lapan sindiket penipuan dalam talian termasuk love scam yang menyasarkan mangsa warga luar negara antaranya dari Turkiye, India dan Bangladesh di ibu negara berjaya ditumpaskan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesemua sindiket itu digempur menerusi serbuan bermula 4 hingga 21 September lalu di beberapa lokasi berasingan melibatkan 10 unit kediaman mewah.
Dalam siri serbuan itu, polis berjaya menahan seramai 155 individu termasuk 43 warga asing yang disyaki berperanan sebagai ahli kegiatan penipuan online.
“Siasatan awal mendapati kebanyakan sindiket dikesan beroperasi melakukan penipuan dalam talian itu sejak dua hingga tiga bulan lalu.
“Dalam serbuan pertama pada 4 September lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur menahan seramai 59 individu yang terdiri daripada 29 lelaki dan 24 wanita tempatan serta dua lelaki dan empat wanita warga asing di dua unit kediaman mewah di Bandar Seri Petaling dan Jalan Kepong.
“Siasatan lanjut mendapati kesemua tangkapan itu terlibat dalam penipuan dalam talian berkenaan pelaburan forex yang menyasarkan warga tempatan dan mangsa dari India,” katanya pada sidang media hari ini.
Polis turut merampas sebanyak 37 unit komputer riba, 15 set komputer, 52 buah telefon bimbit, satu set modem dan satu set router disyaki digunakan mereka dalam jenayah penipuan itu.
Tambah Allaudeen, dalam satu lagi serbuan pada keesokan harinya, JSJK Kuala Lumpur menahan dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 36 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tidak wujud menerusi dalam talian.
Kali ini mereka menyasarkan rakyat tempatan sebagai mangsa dan beroperasi di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kepong.
Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak tujuh unit telefon bimbit, 20 keping kad debit pelbagai bank, satu set komputer riba dan satu unit router.
“Seterusnya pada hari sama, polis turut menggempur satu lagi kediaman mewah di Jalan Dutamas sebelum memberkas lima lagi individu disyaki terlibat aktiviti penipuan atas talian membabitkan pelaburan saham yang menyasarkan mangsa warga China.
“Manakala pada 6 September lalu, polis juga menyerbu satu lagi premis kediaman di Taman Gembira dan menahan sembilan lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 17 hingga 26 tahun yang terbabit dalam penipuan dalam talian menawarkan kerja menyasarkan warga Turkiye,” katanya.
Tegas beliau, dalam empat lagi serbuan berasingan pada 8, 19 dan 21 September lalu di premis kediaman mewah di Bukit Bintang, Jalan P. Ramlee dan Persiaran KLCC turut berjaya membawa kepada pembongkaran kegiatan penipuan pelaburan forex dan wang kripto tidak wujud, sindiket love scam dan tipu tawaran kerja menyasarkan warga Australia dan Kanada.
Allaudeen juga tidak menolak kemungkinan kesemua lapan sindiket berkenaan menjadikan residensi mewah yang ada kawalan keselamatan ketat di ibu negara sebagai markas operasi mereka.
Ia bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, katanya.
“Ini kerana dengan menjadikan premis-premis kediaman mewah sukar untuk polis mengesan mereka termasuk kawalan keselamatan ketat dan polis memerlukan maklumat dari orang awam terutamanya orang sekeliling di sesebuah kawasan yang boleh memaklumkan sebarang aktiviti mencurigakan.
“Cuma yang menjadi persoalannya, adalah susah untuk orang biasa masuk ke unit mewah yang dikawal ketat itu tetapi bagaimana ramai suspek sindiket ini boleh keluar masuk?
“Pengurusan JMB (badan pengurusan bersama) setiap residensi mewah ini sepatutnya bertanggungjawab untuk mengelak sebarang jenayah sindiket penipuan berlaku di premis mereka,” katanya.
Sehubungan itu, polis memohon orang ramai untuk memaklumkan segera sebarang aktiviti penipuan dalam talian dengan menghubungi Hotline Polis KL di talian 03-211 59999 atau tampil ke balai polis berdekatan.- MalaysiaGazette