PETALING JAYA – Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023 berupaya menjadi platform untuk mempamerkan keupayaan dan potensi negara ini dalam bidang ekonomi digital.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil berkata, program itu bukan sekadar ekspo, malah ia merupakan bukti kesiapsiagaan Malaysia untuk meneroka ruang baharu.
Beliau menambah, MDX 2023 juga mampu melonjakkan ekosistem digital negara dan membuka peluang kepada perniagaan untuk berkembang di rantau ASEAN dan wilayah-wilayah lain.
“Ia adalah platform yang dikonsepsikan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dengan kerjasama rakan-rakan kongsinya untuk menampilkan yang terbaik dalam ekosistem teknologi dan ekonomi digital di Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Media MDX 2023 di Petaling Jaya, hari ini.
Turut hadir, timbalannya, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.
Fahmi memberitahu, MDX 2023 menghimpunkan minda-minda terbaik serta tokoh-tokoh berwawasan dan inovatif dari seluruh dunia yang berkongsi matlamat sama dalam membentuk masa depan dunia digital.
“Saya mengambil peluang ini untuk menyeru semua peneraju industri, pengamal media, rakan kongsi dan pemegang taruh untuk memainkan peranan yang aktif dalam MDX 2023 dengan membentuk kerjasama dan kolaborasi yang efektif dengan kami,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, Malaysia berjaya meraih komitmen pelaburan melebihi RM37.4 bilion dalam pelbagai sektor teknologi digital sekali gus menjamin sekurang-kurangnya 15,895 pekerjaan bernilai tinggi.
“Pencapaian memberangsangkan ini mencerminkan keyakinan para pelabur asing dalam Malaysia Digital (MD) yang merupakan inisiatif strategik kebangsaan kita untuk memacu ekonomi digital,” katanya.
MDX 2023 anjuran MDEC yang berlangsung selama enam minggu sehingga 8 November ini mengetengahkan inovasi dan teknologi terkini daripada syarikat-syarikat tempatan dan global.
Acara utama MDX 2023 akan berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur mulai 6 hingga 8 November.
Acara-acara utama lain sepanjang MDX 2023 termasuk persidangan, bengkel, pameran dan sesi suai kenal serta majlis anugerah industri dan makan malam MDX.
Antara acara-acara sampingan ekspo tersebut adalah Pesta Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) 2023, Pertukaran Digital Malaysia-Jepun, Kongres Teknologi Maklumat (IT) Dunia mengenai Inovasi dan Teknologi (WCIT) 2023, Konvensyen Awan dan Pusat Data 2023, Finale Pesta #mydigitalmaker 2023, Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Smart Melaka (SMIX) 2023, Persidangan Kecerdasan Buatan (AI) United Kingdom-Malaysia 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2023.
Ia dijangka menarik lebih 150,000 peserta dari seluruh dunia termasuk pelabur, usahawan, syarikat teknologi baharu, persatuan perdagangan, pembuat dasar dan profesional dalam industri digital. – MalaysiaGazette