BALIK PULAU – Polis sudah mengenal pasti identiti 11 mangsa yang terbabit dalam insiden van terjunam dalam gaung sedalam enam meter di Bukit Genting di sini, semalam.

MalaysiaGazette difahamkan, kejadian berlaku ketika kesemua mereka dalam perjalanan ke hotel sebaik selesai makan malam di sebuah restoran di atas bukit tersebut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, hasil siasatan mendapati van dipandu lelaki tempatan itu membawa 10 pelancong yang terdiri daripada sembilan warga Singapura dan seorang wanita tempatan.

Kamarul Rizal.

Jelas beliau, bagaimanapun, ketika menuruni bukit dari sebuah restoran makanan di kawasan tersebut, pemandu lelaki berusia 61 tahun itu dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan jatuh ke dalam gaung.

“Akibat kejadian seorang wanita warga Singapura, Lee Kwee Yiam, 62, maut di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah pada kepala.

“Manakala sembilan lagi pelancong terdiri daripada lapan warga Singapura dan seorang wanita tempatan selamat namun ada yang mengalami kecederaan pada leher, kaki dan tangan.

”Tiga daripada mangsa dilaporkan cedera parah kini sedang mendapatkan rawatan iaitu seorang di Hospital Pulau  Pinang manakala dua lagi sebuah hospital swasta di Bayan Baru.

“Mereka yang terselamat termasuk pemandu itu berusia lingkungan 55 hingga 69 tahun,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Kamarul, penumpang wanita tempatan berusia 56 tahun itu merupakan pekerja kilang di Singapura dan mangsa dipercayai datang bersama pelancong dari negara tersebut.

“Mayat mangsa terkorban itu akan dibedah siasat jam 2 petang ini dan kita juga akan maklum kejadian pada pihak Kedutaan Singapura.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutkan Jalan 1987,” kata Kamarul.

Difahamkan, kesemua mangsa itu datang ke negeri ini untuk melancong sejak 21 September lalu dijadualkan pulang esok.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan, seorang wanita warga Singapura maut selepas van yang dinaikinya terbabas sebelum terjatuh dalam gaung sedalam enam meter di Bukit Genting di sini.

Kejadian jam 8.15 malam itu turut mengakibatkan empat mangsa parah manakala lima lagi selamat. – MalaysiaGazette