PETALING JAYA – Agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhak mengambil tindakan terhadap mana-mana organisasi media yang melaporkan berita palsu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, SKMM mengambil tindakan mengikut peraturan dan undang-undang.
Beliau memberi contoh mengenai laporan sebuah agensi berita pada musim enam pilihan raya negeri (PRN) lalu kononnya seorang pemimpin pembangkang telah ditahan.
“Sebenarnya ia adalah palsu. Dalam kes-kes sedemikian, agensi penguatkuasaan berhak mengambil tindakan terhadap organisasi media terbabit.
“Terbukti bahawa agensi media itu salah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pelancaran Media Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023 di Petaling Jaya, hari ini.
Fahmi mengulas kenyataan sekumpulan wartawan veteran, ketua pengarang berita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan media semalam yang memandang serius tindakan SKMM ke atas beberapa portal berita.
Antaranya membabitkan portal berita MalaysiaNow yang diarahkan untuk menurunkan kandungan berita mengenai kekecohan di Dewan Rakyat pada 19 September lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak berlaku adil dalam menilai tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh SKMM.
“Kadang-kadang dalam usaha kita mendapatkan berita, bukan sahaja penting menjadi yang pertama melaporkan, tetapi melaporkan yang benar berasaskan fakta.
“Saya fikir ini terpakai untuk semua saya menggalakkan SKMM bersemuka dengan semua organisasi,” jelasnya.
Fahmi berpandangan, penubuhan Majlis Media Malaysia merupakan platform yang sangat berkesan untuk membincangkan dan menyelesaikan isu tersebut.
Beliau juga berharap, rang undang-undang Majlis Media Malaysia dapat dibentangkan dan diluluskan di Parlimen tahun depan.
“Jadi ada proses mudah cara yang lebih baik untuk organisasi media atau kawal selia dalaman dalam kalangan pengamal media sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette
Sejak bila laporan peristiwa jadi kesalahan di negara ini, tanya pengamal media
Yang palsu tu palsu la tapi hari ini dalam sejarah bukan cerita palsu.