Mohamad melawat booth pameran pada Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran Kali ke-25 di kementeriannya di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Semua pihak diminta agar tidak gopoh dalam mengeluarkan kenyataan berhubung penjualan Beras Putih Tempatan (BPT) kepada warga asing.

Ini kerana, sekiranya rakyat Malaysia berada di luar negara mereka juga tidak boleh mendapat beras pada harga murah untuk dimakan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Saya rasa mereka perlu diberi izin untuk membeli beras di Malaysia termasuk beras tempatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran Kali ke-25 di kementeriannya, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh apabila membidas kenyataan yang mengatakan cadangan tidak menjual beras kepada warga asing sebagai tidak berperikemanusiaan.

Menurut Muhamad Akmal, tindakan membiarkan warga asing membeli beras susbisi lagi tidak berperikemanusiaan, ditambah dengan keadaan negara yang berhadapan kekangan bekalan beras tempatan.

Sementara itu, ditanya mengenai permintaan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) yang menggesa kerajaan memperincikan prosedur operasi standard (SOP) berhubung lesen borong, Mohamad berkata, kementeriannya akan berjumpa dan berdialog dengan pemegang taruh berkaitan.

Katanya, langkah itu adalah supaya semua yang terlibat dapat memahami apa yang dihadapi terutama pihak pengurusan restoran.

Semalam, Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan meminta kerajaan melakukan perkara tersebut susulan pengusaha restoran memgalami kesukaran mendapatkan BPT, menyebabkan kebanyakan mereka terpaksa bergantung hampir sepenuhnya kepada beras putih import (BPI).

Katanya, ini kali pertama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperkenalkan inisiatif itu kepada pengusaha restoran dan pihaknya sedia memohon lesen ditawarkan demi kelangsungan perniagaan.

Kelmarin, KPKM memutuskan akan memberi lesen borong kepada pengusaha restoran bagi membolehkan mereka membeli BPI pada harga borong RM3.20 sekilogram daripada Padiberas Nasional Bhd (Bernas), sebagai usaha jangka pendek kerajaan mengatasi masalah kekurangan BPT susulan pengguna kurang membeli BPI berikutan harganya meningkat.

Persatuan pengusaha restoran perlu mengemukakan permohonan kepada KPKM untuk mendapatkan lesen borong terbabit. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tengok dalam tik tok.

    Sembilan bulan dibawah pakatan hancing, suasana rakyat B40 Malaysia nak dapatkan beras sekampit dah macam suasana dunia ke 3! Kesian.

    Apa nak jadi dengan Malaysia?

Comments are closed.