CYBERJAYA – Bukan mudah mengawal sempadan negara. Namun itulah cabaran yang dihadapi oleh pasukan tentera Malaysia, terutama yang bertugas di Golok, Kelantan.
Berdepan dengan pelbagai alasan oleh penduduk setempat yang mahu berulang-alik antara Golok ke Thailand itu perkara biasa.
Malah, kerap kali juga dilastik dengan guli.
Itu pendedahan oleh Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Noorrul Azril Ariffin yang pernah bertugas di Golok, Kelantan.
Katanya, situasi itu perlu dihadapi pasukan keselamatan negara kerana secara tradisinya penduduk di situ (Golok) dan Thailand adalah bersaudara.
“Petang-petang ada makcik bawa kuih, beras kampit dan apabila kita tahan dan soal mereka, dia kata hendak hantar ke rumah anak di seberang.
“Malah, ada yang kita tahan untuk periksa tetapi mereka beri alasan hendak hantar anak mengaji al-Quran dan ada juga yang cakap hendak ke rumah isteri.’
“Inilah antara alasan penduduk di sini (Golok) dan ia memberi cabaran kepada kita (ATM) apabila hendak melaksanakan operasi,” katanya dalam Seminar Keselamatan Sempadan Negara 2023 di sini hari ini.
Seminar anjuran UiTM Shah Alam itu yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman turut menyaksikan kehadiran Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai panel jemputan.
Beliau yang dijemput sebagai salah seorang panel ke seminar itu mewakili ATM menambah, cabaran yang diterima daripada masyarakat setempat itu sememangnya menyukarkan tugas anggota yang beroperasi di kawasan sempadan tersebut.
Ini kerana, apabila anggota keselamatan bertugas membenarkan penduduk Golok menyeberang,ia bermakna penguatkuasa berkompromi mengenai undang-undang yang dilaksanakan.
“Kalau kita kata tidak (halang penduduk ke seberang), itu ialah rutin mereka yang mana kebanyakan Sungai Golok boleh direntas hanya dengan berjalan kaki sahaja terutama ketika air surut,” ujarnya.
Tegas Noorrul Azril lagi, pada waktu tertentu anggota keselamatan melihat reaksi agresif daripada masyarakat setempat ketika pelaksanaan operasi di sekitar Sungai Golok terutamanya pada musim perayaan.
Katanya, dalam sehari dua sebelum sambutan hari raya mereka mula bertindak agresif kerana ada permintaan tinggi dari Thailand.
Ketika itu, perahu-perahu akan disusun sementara menunggu anggota keselamatan tidak berada di lokasi.
“Apabila mereka terdesak sangat, mereka akan menyerang dengan melastik anggota yang bertugas dengan menggunakan guli.
“Serangan lastik guli itu memaksa kita mengubah arahan yang mana anggota operasi perlu memakai vest dan helmet sebagai perlindungan kerana serangan lastik guli itu boleh mencederakan kita,” jelas beliau.- MalaysiaGazette