Gambar hiasan

MELIHAT kepada konsep negara sekular pada zaman gelap Eropah kita dapat melihat beberapa ciri yang hampir kepada konsep negara yang ingin diwujudkan oleh Pas. Ciri-ciri seperti mewujudkan kasta agamawan, meletakkan agama pada kedudukan berbeza dengan politik dan juga melalaikan masyarakat dengan konsep dosa dan pahala agar kemajuan tidak menjadi objektif pemerintah adalah yang paling ketara. Kewujudan kasta agamawan walaupun secara tidak rasmi dapat kita lihat adanya Dewan Ulama Pas yang secara wewenang melantik sesiapa sahaja yang layak pada tanggapan mereka untuk menjadi ulama’ Pas sehingga polarisasi semakin ketara seperti menentukan adakah ulama Pas ini sesungguhnya ulama Islam yang melalui proses dan tatacara yang benar untuk digelar ulama? Atau cukup dengan ijazah daripada timur tengah mahupun universiti islam tempatan sudah memadai untuk mendapat gelaran ulama Pas?

Tapi yang pasti gelaran “ulama” ini mewujudkan kasta di antara masyarakat awam yang mempunyai taraf ilmu agama yang sama dengan ahli dewan ulama’ Pas. Kasta ini walaupun tidak wujud secara formal seperti apa yang berlaku di zaman gelap eropah, tetapi masyarakat sedar bahawa mempersoalkan Ahli Dewan Ulama Pas, mahupun ahli politik yang lebih tepatnya ulama’ haraki seakan sesuatu yang ditegah di dalam parti, dengan alasan kurangnya ilmu agama penyokong mereka untuk mempersoal apa-apapun keputusan atau kelakuan ulama haraki’ ini berserta fatwa-fatwa kepartiannya. Polarisasi ini bukan sahaja mencandukan masyarakat bahawa mereka ditadbir dan dipimpin oleh kepimpinan ulama’, tetapi juga menjadikan mereka wala’ (patuh) tanpa mempertikai fatwa-fatwa kepartian yang terpancul dari akal fikir ulama haraki’ Pas. Kasta inilah yang mengekalkan penyokong lama dan menambat hati pengundi atas pagar untuk bersama dalam kepimpinan ulama’ yang diperjuangkan Pas.

Perbezaan tingkat kedudukan agama dan politik di dalam konsep negara sekular itu juga jelas terserlah dalam mesej-mesej kepartian Pas. Agama tidak boleh dicabar, dipersoal dan dikritik kerana risau perbuatan tersebut dapat membatalkan iman, maka masyarakat yang sedia patuh kepada kasta antara ulama haraki’ dengan masyarakat tadi dikuatkan lagi dengan perbezaan tingkat akan kedudukan agama dan politik di dalam sesebuah negara, dalam hal ini negara Islam konsep Pas.

Segala sesuatu telah ditentukan oleh agama, perbuatan untuk mempertikai walau sekecil apa pun sentiasa diingatkan akan batalnya iman. Tiada yang lebih hina bagi seorang muslim kecuali terbatalnya iman. Ancaman ini bukanlah ancaman fizikal atau mental, tetapi sesuatu yang transedental melangkau kehidupan abadi seorang muslim. Mereka yang mempunyai autoriti dalam agama adalah golongan ulama haraki’, mereka ini menjadi juru bicara tuhan sehingga politik harus tunduk kepada kehendak mereka.

Akibatnya, mereka menguasai sentimen agama yang membuatkan parti lawan mereka harus patuh kepada kebijakan politik melawan fatwa-fatwa kepartian yang mana jika ditentang maka mereka yang menyebelahi tindak rasional akan dipersoalkan keimanan dan keislaman mereka, walaupun parti lawan itu juga memperjuangkan Islam. Konsep pengampunan dosa pada zaman gelap itu seakan dipelawa masuk ke dalam fatwa politik Pas yang mana siapa sahaja musuh lama yang ingin bergabung maka dosanya diampunkan dan diputihkan semula sesuci kain putih. Mereka yang melawan walaupun pernah bersekedudukan dianggap melawan perjuangan islam. Pengaruh dosa-pahala ini membuatkan pendokong Pas tidak segan silu melabel parti lawan sebagai parti ‘luar tabi’e dan parti zina.

Segala dosa terang-terangan didiamkan oleh golongan ulama Pas,jarang sekali Pas mengeluarkan kenyataan atau teguran umum kepada ahli yang melampaui batas, jika ada sekalipun hanyalah sekadar menjawab pertanyaan-pertanyaan wartawan jika di soal tentang dosa-pahala, syurga-neraka, atau kafir mengkaf irkan sesama islam disebabkan perbezaan pandangan politik. Konsep Negara yang ingin dibina oleh Pas lebih dekat acuannya dengan negara sekular zaman Eropah gelap daripada konsep piagam Madinah Rasulullah. Politik identiti ini telah membangkitkan masyarakat islam yang dulunya tidur hanya untuk celik menghina mereka yang tidak sehaluan dengan pandangan politik Pas. Politik Islam yang seharusnya politik akhlak dan ilmu dicemari dengan lancang adab dan kurang akal.

Sakhril Marat
Graduan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

*Artikel ini memaparkan pandangan pembaca dan tiada ada kena mengena dengan pendirian portal kami. – MG