KUALA LUMPUR – Pasangan kekasih warga asing ditahan bersama dadah jenis apabila kenderaan yang dinaiki terbabas berhampiran Kampung Olak Lempit, Kuala Langat pada awal pagi ini.
Bagaimanapun dua lagi individu berjaya melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku apabila polis menahan kenderaan pelbagai guna(MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki empat suspek yang dipandu dalam keadaan mencurigakan Jalan Persiaran Apec, Cyberjaya pada kira-kira jam 11.30 malam tadi.
“Anggota polis kemudian meminta pemandu kenderaan tersebut untuk mengemukakan dokumen pengenalan diri dan lesen memandu namun tidak diendahkan suspem yang tiba-tiba memecut melarikan diri.
“Kereta peronda polis kemudiannya mengejar kenderaan tersebut melalui Lebuhraya Putrajaya sehingga ke susur keluar Plaza Tol Serenia, Dengkil sebelum merempuh palang tol tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Wan Kamarul Azran, kenderaan tersebut kemudian melalui Jalan Dengkil-Banting sebelum merempuh sekatan jalan raya.
Tambah beliau, selepas polis mengejar suspek sejauh selama 40 minit, iaitu sejauh 20 kilometer, kenderaan dinaiki empat suspek telah hilang kawalan dan terbabas di kawasan berhampiran Kampung Olak Lempit.
Katanya, polis yang melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menahan dua suspek yang merupakan pasangan kekasih warga asing berumur 32 dan 21 tahun pada jam 12.20 pagi namun dua lagi individu berjaya melarikan diri.
Wan Kamarul Azlan berkata, pemeriksaan dalam kenderaan membawa kepada penemuan dua bungkusan plastik lutsinar yang berisi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 103.61 gram.
Katanya, semakan mendapati pasangan kekasih itu hanya memiliki salinan pasport tetapi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Jelasnya, mereka disiasat di bawah Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette