JOHOR BAHRU – Seramai 66 individu ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian di Johor dalam operasi yang dijalankan bermula 22 September lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, mereka yang ditahan berusia 19 hingga 66 tahun terdiri daripada 52 lelaki tempatan, tiga lelaki warga asing, enam wanita tempatan dan lima wanita warga asing.
Polis juga merampas wang tunai sebanyak RM9,641.
Menurut Kamarul Zaman, Op Dadu Khas selama empat hari yang dilakukan bertujuan membanteras kegiatan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen itu.
Turut dirampas 67 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan 23 pencetak mudah alih.
“Dalam masa sama, sebanyak 56 premis telah diperiksa dan pemotongan bekalan elektrik serta pembatalan lesen terhadap premis yang terlibat akan dilakukan, menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semua tangkapan telah dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Menurut Kamarul Zaman, kes disiasat di bawah Seksyen 4(A) dan 4(B) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga atau mengurus atau membantu tempat perjudian terbuka dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun.- MalaysiaGazette