Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ternakan babi dalam negara ini bebas dari penyakit Nipah selepas keputusan ujian ke atas 399 sampel haiwan itu negatif penyakit berkenaan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, ia adalah hasil survelan tahunan terkini sehingga Ogos 2023.

Menurutnya, penyakit itu disebabkan oleh jangkitan virus Nipah yang boleh tersebar melalui sentuhan langsung dengan haiwan terjangkit, udara yang dicemari dengan titisan pernafasan, rembesan dari hidung dan mulut, atau tisu dari haiwan yang terjangkit.

Penyakit Nipah pertama kali dikesan di Malaysia pada tahun 1998 melibatkan ladang babi di Perak dan merebak ke Negeri Sembilan hingga menyebabkan kerugian besar kepada penternak babi dan ekonomi negara serta meragut 105 nyawa manusia.

Usaha-usaha pembasmian secara besar-besaran melibatkan pelbagai jabatan/agensi telah dijalankan ketika itu, dan pada awal 2001 Malaysia diisytihar bebas dari penyakit Nipah oleh World Organisation for Animal Health (OIE).

“Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan status bebas Nipah negara melalui program survelan berkala.

“Untuk makluman juga, penyakit ini disenaraikan dalam Penyakit Wajib Lapor yang diwartakan di bawah Akta Binatang 1953 perkara 31 (1) oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” menurut DVS dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam memastikan industri ternakan babi di Malaysia bebas dari sebarang ancaman penyakit, DVS akan terus menjalankan survelan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar penyakit yang bersifat zoonotik (berjangkit kepada manusia) ini dapat dicegah dari masuk ke dalam negara.

Oleh itu, penternak babi dinasihatkan untuk tidak menanam pokok buah-buahan di dalam dan sekitar kawasan ladang yang boleh menarik haiwan terutamanya keluang (famili spesis kelawar) yang berkebolehan untuk menjadi perumah semulajadi virus Nipah.

Orang awam juga dinasihatkan untuk melapor sebarang kejadian penyakit berjangkit dalam ternakan seperti babi, kuda, atau haiwan kesayangan kepada DVS untuk
tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast