BENTONG – Agenda pendidikan kepada masyarakat orang asli di Pelangai akan terus menjadi fokus calon Barisan Nasional Datuk Amizar Abu Adam.
Menurutnya, melalui pendidikan sahaja, taraf kehidupan komuniti orang asli dapat dipertingkatkan, sekali gus mengubah taraf sosio ekonomi ke arah lebih baik.
“Kalau saya diberi mandat itu keutamaan saya kepada masyarakat orang asli kerana dalam kalangan mereka yang berusia 14, 15 tahun tetapi tidak meneruskan pendidikan yang sepatutnya.
“Hasrat saya untuk meningkatkan tahap pendidikan supaya isu-isu kehidupan yang membelenggu mereka dapat ditangani,” katanya kepada selepas menyantuni penduduk Orang Asli Ulu Semei pada semalam juga sempat berkunjung ke Kampung Orang Asli Sungai Gapoi.
Amizar berkata, komuniti orang asli di negeri ini beruntung kerana Kerajaan Pahang tidak pernah meminggirkan keperluan mereka.
“Mereka diberi layanan seperti semua kaum. Segala keperluan mereka dipenuhi,” tambahnya.
Sebelum ini Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM12.32 juta pada tahun ini sahaja bagi meningkatkan taraf kehidupan komuniti orang asli dalam pelbagai aspek menerusi pelbagai bantuan yang disalurkan,
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober ini Amizar akan dicabar oleh calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli. – MalaysiaGazette