Dr. Na'im Mokhtar

PUTRAJAYA – Kerajaan mahu mewujudkan Jawatankuasa Harmoni bagi menangani isu persepsi salah terhadap Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, jawatankuasa yang akan diwujudkan itu akan mendapat kerjasama daripada Kementerian Perpaduan.

Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai pemimpin-pemimpin agama di negara ini.

“Kita telah memulakan dialog, saya telah bertemu pemimpin-pemimpin agama besar di negara kita, saya juga telah bercakap dengan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang untuk kita wujudkan semula Jawatankuasa Harmoni diangotai pemimpin agama bagi menghormati antara agama.

“Jadi, ia akan menjadi jurucakap menjelaskan kepada orang bukan Islam (mengenai agama Islam), ini kita lakukan semoga insiatif ini diambil termasuk apa yang Perdana Menteri kita lancarkan 1 juta Al-Quran jadi kita dah lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2023, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, jawatankuasa berkenaan bertujuan membawa kelestarian dan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia berlatar belakang pelbagai agama.

Tambahnya, mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan pada Oktober depan.

“Ia dipersetujui Menteri Perpaduan bahawa Jawatankuasa Harmoni akan membawa kelestarian, kehamonian dikalangan mereka menganut pelbagai agama,” katanya lagi.

Sebelum ini, Malaysia menempelak tindakan segelintir pihak membakar kitab suci al-Quran, serta menghidupkan kebencian terhadap umat Islam di dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York berkata, tindakan itu tidak bertanggungjawab serta membawa mesej berbahaya kepada kemanusiaan.

Justeru, Malaysia menyeru semua masyarakat dunia agar menerapkan nilai penerimaan, toleransi dan saling menghormati. – MalaysiaGazette