Platform QR DuitNow

KUALA LUMPUR – Caj kadar diskaun pedagang atau merchant discount rate (MDR) terhadap peniaga yang menggunakan QR DuitNow tidak akan memberi kesan terhadap harga barangan dan perkhidmatan.

Pengendali platform tersebut, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (Paynet) menjelaskan pembelian menggunakan kad kredit dan debit sudahpun tertakluk kepada MDR.

“Produk dan perkhidmatan yang dibeli dengan kad kredit atau debit adalah pada harga yang sama dengan pembelian tunai.

“Oleh itu, kami menjangkakan perkara yang serupa dan tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembelian menggunakan DuitNow QR selepas MDR dikenakan,” katanya dalam kenyataan.

Syarikat itu hari ini mengesahkan peniagaan yang menggunakan aplikasi tersebut akan dikenakan caj bermula 1 November ini.

PayNet bagaimanapun berkata, caj MDR bukan perkara baharu kerana ia dikecualikan ketika tempoh pengenalan aplikasi tersebut pada 2019 bagi menggalakkan penggunaannya.

“Penepian ini dilanjutkan lagi berikutan penularan wabak COVID-19. la bukanlah suatu yuran baru mahupun caj tambahan.

“Sebaliknya, 1 November 2023 adalah permulaan kepada penamatan penepian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih sembilan bulan yang lalu.

“Dana rizab bakal diwujudkan dengan MDR yang dikutip oleh PayNet untuk memberi insentif kepada pemeroleh supaya tidak mengenakan sebarang MDR kepada para peniaga kecil,” katanya.

Menurutnya, walaupun PayNet tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan harga pasaran yang dikenakan kepada peniaga, beberapa bank pemeroleh dan pemeroleh pihak ketiga berhasrat untuk sama ada terus menangguhkan pengenaan MDR atau menyerapnya untuk peniaga kecil.

“Dalam hal ini, peniaga perlu menyemak dengan bank atau pemeroleh pihak ketiga mereka untuk perkara ini,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, media tempatan melaporkan “merchant” atau penjual yang menerima pembayaran menerusi QR DuitNow akan dikenakan caj bergantung kepada mod pemindahan wang.

Perkhidmatan itu membolehkan pemindahan wang antara bank dan entiti bukan bank menerusi imbasan kod. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast