SHAH ALAM – Sayap Pas dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan Setiausaha Agung Parti Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bertemu bekas pemimpin DAP, P. Ramasamy.
Luahan amarah itu dizahirkan seorang pemimpinnya menerusi Facebook dua hari lalu yang mengecam dan tidak berpuas hati pertemuan berkenaan.
Status itu menyifatkan sebagai tindakan bodoh Hamzah mengadakan pertemuan dengan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang banyak kontroversi dan pernah mengkritik Pas sebelum ini.
“Tindakan bodoh pergi bertemu Ramasamy. Jadilah pemimpin yang bermaruah dan berprinsip. Saya sama sekali tidak bersetuju dan membantah,” tulisnya.
Minggu lalu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut memuat naik gambarnya bersama tiga bekas pemimpin DAP di laman Facebook dengan kapsyen ‘kawan-kawan lama dari Penang’.
Bagaimanapun, Ramasamy dalam reaksinya menyatakan, beliau boleh faham mengapa orang ramai akan membuat spekulasi liar berdasarkan hantaran Facebook oleh Hamzah.
“Jadi dia catatkan di FB, “jumpa kawan-kawan lama dari Pulau Pinang”…okay lah. Saya boleh faham…
“Tiada rancangan untuk saya sertai apa-apa saja… Bersatu, Pas, mana saya boleh masuk? No no no. Itu sudah terlalu jauh dan imaginasi liar,” komen beliau. – MalaysiaGazette