KUANTAN – Taktik sindiket penyeludupan rokok putih yang bergerak ketika waktu kemuncak gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila sebanyak 4,800,000 batang rokok itu berjaya dirampas baru-baru ini.
Pengarah Kastam Negeri Pahang, Mohd Asri Seman berkata, rokok tidak bercukai dengan nilai lebih RM3.65 juta dirampas berhampiran simpang masuk ke Estet Simpai, Lebuhraya Kuantan-Segamat, Pekan pada pukul 2.20 petang pada 13 September lalu.
“Pasukan berjaya menahan lori bersama pemandu di lokasi kejadian dan ia dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Selatan Tanah Air,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam, di sini hari ini.
Nilai keseluruhan rampasan membabitkan sebuah lori jenis bonded dan rokok-rokok termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM3,650,400.00.
Rampasan tersebut merupakan penyeludupan yang terbesar berjaya dipatahkan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang bagi tahun ini.
Mohd Asri berkata, kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dimana jika sabit kesalahan, boleh dikenakn hukuman denda minimum 10kali ganda nilai barang atau RM100,000.00 (yang mana lebih tinggi); sehingga maksimum 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.00 (yang mana lebih tinggi); atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Tegasnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette