Oleh: Prof. Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor,
Dr. Kartini Kamaruzzaman,
Dr Norsimaa Mustaffa dan
Dr Safiyyah Ahmad Sabri
UMAT Islam di seluruh negara bahkan di seluruh dunia menyambut sambutan Maulidur Rasul senalam.. Tema Sambutan Maulidur Rasul di seluruh negara pada tahun ini adalah ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’. Ia satu bentuk manifestasi bahawa sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang utuh mewarisi ajaran Islam dan syariatnya, kita bersatu-padu daripada segenap aspek dalam kehidupan demi pembangunan dan kesejahteraan agama, bangsa dan negara.
Maulidur Rasul berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kelahiran atau keputeraan Rasulullah SAW. Keputeraan Baginda adalah pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal bersamaan dengan 23 April 571 Masehi. Baginda Rasulullah merupakan yang diutuskan oleh Allah SWT kepada umat manusia. Sambutan Maulidur Rasul di Malaysia ini lazimnya diadakan dengan mengadakan majlis-majlis memperingati hari keputeraan Rasulullah SAW oleh pelbagai pihak di seluruh negara. Aktiviti-aktiviti seperti ceramah, tazkirah, perarakan dan seumpamanya diadakan sebagai usaha untuk memeriahkan sambutan dan menyemarakkan rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW.
Persoalannya, adakah anak-anak kita diasuh tentang kepentingan dan pengajaran yang sangat banyak boleh dicedok dan dihadam daripada sambutan Maulidur Rasul ini? Seterusnya, apakah mereka maklum bahawa menyambut hari kelahiran Nabi yang agung ini tidaklah tertakluk kepada hari-hari tertentu sahaja, bahkan Baginda perlu diraikan dengan cara meneladani setiap sudut kemuliaan sifat dan keperibadian Baginda? Sebagai ibu bapa kita sangat berperanan dan bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak kita untuk bukan sahaja menyambut Maulidur Rasul ini dengan perarakan atau menghadiri majlis-majlis tertentu, bahkan mengenali siapa sosok tubuh manusia hebat dan maksum bernama Muhammad bin Abdullah ini dan mengikuti segenap sunnah dan amal ibadah yang diwariskan oleh Baginda kepada kita umat manusia terakhir di dunia ini.
Anak-anak perlu tahu tentang sirah Rasulullah SAW, tentang keperibadian mulia Baginda, tentang usaha dakwah yang dilaksanakan Baginda yang bermula secara tersembunyi hinggalah terbuka, tentang hijrah Baginda dan Umat Islam ke Madinah, dan lain-lain lagi. Menyebut tentang keperibadian mulia dan hebat Baginda, anak-anak perlu tahu bahawa Allah SWT ada menyebutkan tentang kehebatan Rasulullah SAW melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (al-Qalam, ayat 4).
Keperibadian dan ketokohan Baginda terserlah dan diakui oleh pengkaji-pengkaji peradaban kemanusiaan sendiri, baik oleh Muslim dan bukan Islam. Misalnya, Micheal H. Hart di dalam bukunya bertajuk “The Hundred” yang tersohor mengenai manusia atau tokoh paling berpengaruh dalam peradaban manusia, meletakkan Baginda Rasulullah SAW sebagai tokoh di kedudukan pertama berbanding figura-figura lain. Michael mencatatkan bahawa pemilihan Rasulullah SAW sebagai tokoh manusia paling berpengaruh kerana hanya Baginda individu paling berpengaruh dalam bidang keagamaan dan duniawi yang mana selepas empat belas kurun selepas kewafatan Baginda, pengaruhnya masih dapat dirasai umat manusia. Ini sangat bertepatan dengan penegasan Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan Kami tidak Mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam” (Al-Anbiya’ 107).
Anak-anak juga harus tahu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah kekasih Allah SWT, di mana Allah SWT dan para malaikat berselawat iaitu berdoa, memuji dan memuliakan Baginda seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya” (Surah al-Ahzab, ayat 56). Maka, apatah lagi kita sebagai umat Nabi Muhammad, sudah tentulah kita juga sangat dianjurkan untuk berselawat ke atas Baginda setiap masa dan mendapat ganjaran pahala. Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali” (Riwayat Muslim).
Anak-anak harus tahu bahawa pada diri Rasulullah itu adalah contoh dan tauladan yang terbaik yang boleh dijadikan role-model dan idola teragung dalam melangsungi kehidupan yang diberkati Allah SWT. Ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah” (Al-Ahzab, ayat 21).
Anak-anak boleh meneladani sifat ketabahan dan iltizam Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Islam dalam kalangan Kafir Quraisy di Mekah yang telah bertahun-tahun lamanya kental dengan kesesatan dan kekufuran. Rasulullah telah memberikan contoh jalan perubahan yang sesuai dengan sunatullah atau ketentuan normaliti alam, di mana Rasulullah sanggup berkorban dengan pelbagai cara untuk berdakwah. Bersengkang mata, dicaci dan dihina, cedera parah dibaling dengan batu, dipulaukan oleh bukan sahaja masyarakat Mekah bahkan kaum keluarga sendiri, dan sebagainya demi menegakkan syiar Islam, walaupun Baginda tahu bahawa Allah SWT mampu mengurniakan ‘kemenangan’ dengan cara yang lebih mudah seperti membinasakan terus puak Kaum Quraisy tersebut, namun ia bukanlah pilihan Baginda yang sangat mengasihi dan menghormati kawan mahu pun lawan.
Anak-anak boleh dibudayakan untuk menuruti sifat-sifat mulia yang ada pada Rasulullah, terutamanya pada empat sifat wajib yang harus ada pada Baginda sebagai Rasul utusan Allah. Pertamanya, sifat Siddiq atau benar adalah meliputi kebenaran pada perkataan dan perbuatan yang mengajar anak-anak kita untuk sentiasa jujur dan tidak berbohong sepanjang masa. Amanah pula suatu sifat yang sangat perlu dibudayakan dalam kalangan anak-anak. Dengan wujudnya sifat amanah, maka anak-anak akan sedar tentang erti tanggungjawab dan peranan mereka sebagai Khalifah Allah yang taat pada perintah ibu bapa, hormat pada orang lain, dan rasa kehambaan kepada Penciptanya.
Sifat Tabligh atau menyampaikan sangat berkesan dalam mertarbiyah anak-anak untuk sentiasa berusaha menjadi seorang daie atau pendakwah yang menyampaikan ajaran Islam dan nilai-nilai mulia tidak kira kepada sesiapa, di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia bertepatan dengan Firman Allah SWT yang menegaskan tentang kewajipan menyampaikan Risalah Allah SWT yang bermaksud: ”Wahai Rasulullah, Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan kesemuanya) maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya” (al-Maidah, ayat 67). Walaupun ayat ini adalah suatu arahan kepada Rasulullah SAW untuk menyampaikan segala apa yang diwahyukan oleh Allah SWT tetapi kita dan anak-anak juga berkewajiban untuk menyambung perjuangan dakwah yang dilaksanakan oleh baginda kepada umat manusia. Ini sekaligus akan mencetus kesedaran dalam kalangan anak-anak bahawa mereka perlu menunjukkan atau contoh tauladan yang baik pada diri sendiri dahulu, sebelum mahu menyampaikan mau’izah hasanah atau nasihat kebaikan kepada orang lain.
Terakhirnya adalah sifat Fatonah iaitu bijaksana dan cerdas. Anak-anak harus dididik untuk meneladani sifat bijaksana Rasulullah SAW ini dengan cara berusaha belajar dengan bersungguh-sungguh, mendalami ilmu pengetahuan sebaiknya, dan seterusnya menyampaikan serta berkongsikan ilmu yang dimiliki mereka dengan orang lain. Anak-anak akan sedar bahawa dengan ilmu yang baik, maka mereka akan dapat mengecapi kejayaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Anak-anak yang terbentuk dan dicerna dengan sifat Fatonah ini akan turut mampu menyesuaikan usaha berbuat baik mereka mengikut kepelbagaian latar belakang orang yang ingin didekati mereka itu. Laras bahasa, gaya pengucapan dan berhujah, intipati ilmu dan pengajaran, dan maklum balas akan dapat mereka pelbagaikan demi penerimaan yang baik dan berkesan oleh pihak lain.
Inilah antara beberapa usaha yang boleh dilaksanakan oleh ibu bapa dalam mendidik anak untuk tahu pengajaran dan hikmah daripada sambutan Maulidur Rasul. Rasulullah SAW perlu diraikan sepanjang masa dan perlu dijadikan idola teragung oleh anak-anak dan menyemarakkan lagi sifat kasih kasih dan sayang terhadap Baginda. Semoga kita semua akan beroleh rahmat daripada Allah SWT dengan usaha mengagungkan Rasul utusan-Nya dan mampu memanjangkan sunnah Baginda sehingga ke hari kiamat kelak.
Para penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia