Air Selangor water tariff
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset dijadual akan dilaksanakan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pada 10 Oktober ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi Facebook memaklumkan, kerja berkaitan akan mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat bermula pukul 9 pagi.

Kerja-kerja itu dijangka siap pada 7 malam hari sama dengan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, 12 Oktober (Khamis).

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terlibat berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Air Selangor turut menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Maklumat berhubung gangguan bekalan air boleh dicapai menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – MalaysiaGazette