Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menaiki motosikal bagi menyantuni penduduk kampung pada program ramah mesra bersama warga Perak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Felda Kemasul, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 29 SEPTEMBER 2023.

BENTONG – Peneroka Felda diseru mengenang jasa Kerajaan Barisan Nasional yang membuka dan memajukan tanah rancangan Felda sehingga hari ini sehingga ia dapat dikongsikan dengan generasi seterusnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu berkata, proses pembangunan dan kemajuan yang dikecapi warga Felda hari ini bukan sahaja harus disyukuri tetapi ia perlu ditunjukkan dengan kesetiaan kepada Barisan Nasional (BN).

“Kalau tak masuk Felda dulu, boleh ke buat rumah besar. Allah dah janji siapa bersyukur, Allah bagi lebih. Bila dah masuk Felda bersyukur nikmat, dari rumah satu bilik dah boleh jadi empat bilik.

“Peneroka diberi tanah seluas 10 ekar untuk diusahakan, dari tanah sawit dapat wang dan ubah nasib mereka. Daripada tak ada tanah, ada harta,” katanya ketika mengadakan lawatan di Felda Kemasul dekat sini.

Beliau turut berharap warga Felda terus mengenang jasa Almarhum Tun Abdul Razak sampai bila-bila yang membuka Felda dan membangunkan generasinya,

Oleh itu, Shaarani berpesan kepada warga peneroka untuk menasihati generasi seterusnya supaya terus menyokong usaha Kerajaan Negeri Pahang dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Alhamdulillah saya melihat kehadiran yang ramai dan melalui perbualan, mereka pasti akan memberi undi semula kepada BN kerana mengenang jasa, bersyukur kepada Allah kenang budi kepada BN telah membangunkan dan memajukan Felda.

“Kita ingatkan kepada ibu bapa menyampaikan kepada anak mereka yang merupakan generasi kedua dan ketiga yang tidak tahu sejarahnya kesusahan dan keperitan hidup peneroka pada awal-awal kemasukan di sini.

“Sekarang rumah mereka besar, sekarang mereka ada wang. Mana wang itu datang sebab wang itu datang dari hasil sawit,” katanya.

Justeru belia mengharapkan kesetiaan pengundi di sini mempertahankan kerusi BN di sini dan keluar membuang undi pada 7 Oktober nanti.

PRK DUN Pelangai, menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Parti Barisan Nasional (BN) Dato Amizar Abu Adam,  Perikatan Nasional (PN) yang diwakili oleh Kasim Samat dan  bebas, Haslihelmy DM Zulhasli. – MalaysiaGazette