ACFTA
Bangunan MITI

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan kutipan duti anti-lambakan bagi tempoh lima tahun, berkuatkuasa 29 September 2023 hingga 28 September 2028 terhadap import produk gulungan sejuk keluli aloi atau bukan aloi dengan kelebaran kurang daripada 1,300mm (pengurangan sejuk) tidak bersalut, tidak bersadur atau tidak bersepuh (dalam bentuk gegelung, kepingan, jalur, gelung atau apa-apa bentuk lain) yang berasal atau dieksport dari Jepun.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, kadar duti yang dikenakan terhadap Nippon Steel Corporation ialah 9.03% dan lain-lain 22.62%.

Sehubungan dengan itu, kerajaan telah menamatkan penyiasatan dan mengecualikan daripada pengenaan duti anti-lambakan bagi pengeluar/pengeksport asing dengan margin
lambakan de minimis iaitu Daido Steel Co., Ltd. dan JFE Steel Corporation.

Pengenaan duti anti-lambakan ke atas eksport degangan subjek dari Jepun itu untuk menangani aktiviti amalan perdagangan yang tidak adil.

Ia susulan siasatan duti anti-lambakan yang dimulakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada 31 Januari 2023 berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Mycron Steel CRC Sdn. Bhd. bagi pihak industri tempatan.

Berdasarkan seksyen 20 Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993, penyisatan dijalankan oleh kerajaan untuk menentukan kewujudan, tahap dan kesan daripada aktiviti lambakan. – MalaysiaGazette