KUALA LUMPUR – Nasmie Group Sdn. Bhd. menyasarkan jualan produk minuman keluarannya, jenama Ctah yang memiliki enam perisa akan dijual sebanyak 5,000 karton sebulan sehingga akhir tahun ini.
Pengarah Urusannya, Muhammad Nasyriq Nawawi berkata, sasaran itu berdasarkan produk sulung itu sudah berada di beberapa premis termasuk pasaran dalam talian domestik dan antarabangsa sejak beberapa bulan lalu.
Beliau memberitahu, pihaknya menjalankan kajian hampir dua tahun termasuk tempoh ketika pandemik Covid-19 dan membelanjakan hampir RM100,000 untuk tujuan pembangunan produk sebelum berjaya mencipta formula yang memenuhi kriteria yang dikehendaki.
“Jenama minuman ini adalah ilham daripada Cheetah yang merupakan haiwan darat terpantas di dunia yang memiliki keunikan tersendiri dibandingkan dengan produk pesaing.
“Banyak pelaburan yang lakukan termasuk tenaga, masa, peruntukan kewangan bagi menghasilkan produk minuman bertenaga yang lebih sihat seiring kesedaran masyarakat terhadap perubahan hidup ke arah lebih bermanfaat
“Saya lakukan kajian sendiri dengan menguji kelebihan ratusan botol air minuman bertenaga bukan sahaja di pasaran lokal tetapi turut mencuba produk dari negara jiran termasuk Thailand dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran Ctah baru-baru ini.
Sempena pelancaran itu, Ctah kini dijual dengan harga sebanyak RM2.99 setiap tin.
Mengulas lanjut, Muhammad Nasyriq menambah, pihaknya yakin produk itu mampu pergi jauh berdasarkan tsambutan daripada orang ramai selain menerima maklum balas testimoni yang positif.
Jelas beliau, promosi jualan Citah sedang diadakan ke seluruh negara termasuk menjalankan aktiviti pemasaran secara besar-besaran termasuk hebahan di media sosial , platform e -dagang dan premis serbanika.
Muhammad Nasyriq turut memberitahu, pengalaman beliau yang memulakan perniagaan dalam usia muda termasuk meniaga di pasar-pasar malam banyak membantunya membuat keputusan lebih matang dalam bisnes pada hari ini.
“Saya bermula dengan menjual produk syarikat keluaran orang lain dan berhempas-pulas meningkatkan jualan untuk memperoleh sumber pendapatan.
“Apabila mempunyai modal terkumpul saya mencuba meniaga sendiri dan bagaimana pun mengalami beberapa siri kegagalan termasuklah mengalami kerugian apabila berhadapan lambakan stok dengan nilaian ratusan ribu ringgit,” ujarnya yang memiliki perancangan mengeskport Ctah ke Indonesia, Afrika dan Asia Barat pada masa akan datang. – MalaysiaGazette