Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato' Sri Azam Baki berucap pada Program Menembak SPRM bersama Media 2023 sempena Ulang Tahun SPRM Ke-56 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 30 SEPTEMBER 2023.

KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memperolehi banyak bukti baharu dalam siasatan kes rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah berjumlah lebih RM80 juta.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan masih dilakukan dan masa diperlukan untuk melengkapkannya.

“Kes ini masih lagi aktif disiasat dan berhubung pembabitan beliau (bekas Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Jidin), saya serahkan kepada pegawai penyiasat SPRM yang mengendalikan kes tersebut.

“Banyak bukti baharu yang telah dikumpulkan,” katanya ketika ditanya sama ada SPRM akan merakam keterangan Mohd Radzi selepas menyertai Program Menembak SPRM bersama Media, di sini, hari ini.

Pada minggu lalu, Sumber SPRM mengesahkan tentang penahanan dua individu termasuk bekas Setiausaha Politik Radzi kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek bernilai RM80 juta membabitkan sebuah kementerian.

Sementara itu, Azam memberitahu, kertas siasatan mengenai kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah telah siap dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Keputusan berhubung kes itu dijangkakan dalam tempoh terdekat sama ada membuat pertuduhan (terdahap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) atau sebaliknya.

“Saya menjangkakan DPP akan membuat keputusannya dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi keputusan menuduh ataupun sebaliknya,” ujarnya.

Sebelum ini, Azam menyatakan bahawa SPRM telah mendapat petunjuk baharu dalam siasatan kes tersebut. – MalaysiaGazette