Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM1.5 juta arak seludup tidak bercukai dirampas menerusi dua serbuan berasingan di Jalan Sungai Besi di sini Jumaat yang lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, serbuan dibuat sepasukan pegawai dan anggota daripada Batalion 4 Pasukan Gerakan Awam (PGA), Semenyih.

Kedua-dua serbuan dibuat di kawasan perindustrian yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan arak tidak bercukai.

“Serbuan pertama pukul 2 petang sebanyak 108 kotak arak dan 116 karton arak pelbagai jenama dirampas,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hari ini.

Ujar Zam Halim, ketika serbuan yang pertama seorang wanita warganegara Vietnam berumur 44 tahun berjaya ditahan.

Menurutnya, pasukan yang sama berjaya menahan dua lagi suspek iaitu lelaki masing-masing berusia 21 dan 31 tahun dalam serbuan kedua.

“Dalam serbuan pasukan yang sama menemui dan merampas  sembilan kotak arak jenis Corona Extra, 1,818 karton arak pelbagai je is dan sebuah lori Mitsubishi Fuso.

“Yang ditangkap adalah lelaki merupakan warganegara tempatan dan seorang lagi warga asing” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kawasan berkenaan dipilih sebagai tempat penyimpanan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Mula-mula dijadikan setor simpanan kalau ada permintaan dr premis akan penghantaran dibuat. Juga terletak dalam kawasan zon perindustrian mereka guna premis ini mengaburi pihak berkuasa seolah perniagaan sah,” katanya yang percaya arak tidak bercukai dibawa masuk dari jalan tikus dan pelabuhan.

Terdahulu Zam Halim berkata, semua suspek mendakwa bekerja sebagai penjaga setor.

Sehingga kini, katanya siasatan masih dijalankan kepada semua suspek yang masih direman.

“Reman kepada lelaki warganegara selama empat hari dan dua lagi selama 14 hari,” tambahnya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.- MalaysiaGazette