Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani beramah mesra bersama penduduk ketika hadir ke program ziarah kasih masyarakat orang asli Kampung Sungai Gapoi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 01 OKTOBER 2023.

BENTONG – Desas-desus mengenai rombakan Kabinet yang hangat diperkatakan adalah hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia seharusnya tidak diberi sebarang tekanan dalam mana-mana sistem pemerintahan kerajaan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada Anwar untuk membuat sebarang keputusan berkaitan rombakan Kabinet.

“Kita biarkan PM buat keputusan. Sama ada dia (Anwar) buat rombakan atau tidak hal eksklusif PM.

“Saya berpendangan dalam mana-mana kerajaan, PM mesti ada hal eksklusif, tidak boleh bagi sebarang tekanan kepada PM, kita sudah memilih dia jadi PM.

“Secara sebagai ahli Parlimen saya menyokong Kerajaan Perpaduan, saya juga diberi tanggungjawab Pengerusi backbencher, kena defend Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Bot, Telemong hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, tekanan tidak harus diberikan berikutan 10 bulan adalah tempoh yang singkat untuk mengukur prestasi di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga berpendapat rakyat perlu menilai sehingga hujung penggal ini bagi melihat pentadbiran kerajaan.

“Tidak boleh mana-mana pihak buat tekanan atau sebagainya sebab ambil kira kerajaan  10 bulan kerana kita berdepan isu ekonomi global secara besar.

“Kemudian kita berdepan cara kerja kerja dengan parti-parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan contoh DAP,PKR, UMNO, Amanah.

”Ini Salah satu transisi yang kita perlu lalui dan saya rasa kalau bagi masa secukupnya hingga akhir tahun 2027, saya ingat kita boleh nampak Kerajaan Perpaduan punya keberkesanan dari segi mentadbir negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast