Seorang bekas tentera direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes pembunuhan isterinya di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau semalam. Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai menikam isterinya Munirah Abu Bakar yang merupakan jururawat. Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhasliza Md Ali di Mahkamah Majistret Kangar pagi tadi. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

KANGAR – Seorang pesara tentera yang dipercayai menikam mati isterinya dengan sebilah pisau di kediaman pasangan itu di Jalan Padang Nyu, Arau, semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Kangar Siti Nor Hasliza Md Ali bagi membantu siasatan kes itu.

Terdahulu, suspek berusia 38 tahun yang berpakaian lokap dan bergari tiba di pekarangan mahkamah dengan kenderaan polis pada pukul 8.30 pagi.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki menikam mati isterinya, 31 tahun dengan sebilah pisau dalam kejadian pada kira-kira 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata mayat wanita itu ditemukan di bilik tidur kediaman berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dan ditutupi dengan selimut tebal, selepas suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, pada kira-kira pukul 10 pagi.

Mangsa, seorang jururawat dipercayai ditikam pada bahagian dada kiri dan tikaman sedalam kira-kira dua sentimeter dikesan pada tubuhnya.

Ahmad Mohsin berkata suspek dipercayai bergaduh dengan isterinya akibat cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

1 Komen

  1. Khabarnya si suami penagih dadah kemaruk wang gaji isterinya untuk beli dadah maka pasti kaki kelentong kata motif cemburu.

Comments are closed.