Mohd Razil Mohd Noor
Mohd Razil Mohd Noor

KUALA LUMPUR – Beberapa gabungan badan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan campur tangan dalam isu kebanjiran dan lambakan warga asing di negara ini.

Ini kerana ada wanita tempatan sanggup bersuamikan warga asing semata-mata membolehkan mereka menjalankan aktiviti perniagaan dan sekali gus tinggal lebih lama di Malaysia.

Ketua Skuad Terjah, Mohd Razil Mohd Noor menegaskan, apabila warga asing berkahwin dengan wanita tempatan, mereka mudah mendapat lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan perniagaan.

“Kita minta kerajaan mengkaji semula kes ini. Tarik semua keistimewaan dimiliki isteri warga tempatan itu seperti tidak boleh memohon lesen perniagaan dan sebagainya.

“Apa yang berlaku, kebanyakan warga asing berniaga menggunakan lesen atas nama isteri. Ini tidak adil kepada warga tempatan yang lain.

“Saya nasihat mereka yang menjadi isteri kepada warga asing, jangan mudah dipergunakan. Bila sampai masanya, kamu ditinggalkan seorang diri di sini, sedangkan suami kamu akan kahwin dengan wanita lain,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Menurut Ketua Serumpun Malaysia, Aemierurizaki Rambli, gabungan NGO itu hanya menerima kedatangan warga asing yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan bekerja di sektor dibenarkan kerajaan sahaja.

Aemierurizaki Rambli

Kata beliau, mereka hanya boleh tinggal di Malaysia sepanjang tempoh sah dokumen dan sekiranya tamat atau kontrak kerja berakhir, warga asing terbabit diarah pulang ke negara asal.

“Masalah yang berlaku apabila mereka tamat kontrak, mereka bersembunyi di mana-mana lokasi dan tinggal secara haram di sini.

“Pada masa sama, kerajaan Malaysia pula mengambil pendatang asing lagi untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam pelbagai sektor disediakan.

“Ini akhirnya menjadikan Malaysia sebagai lubuk warga asing dan mereka bebas menjalankan apa sahaja aktiviti seperti berniaga dan memonopoli sesetengah kawasan sehingga meresahkan warga tempatan,” katanya.

Kata-kata itu disokong aktivis masyarakat, Lt. Kol. (PA) Dr. S. Thiru yang menyifatkan permasalahan kebanjiran dan lambakan warga asing di negara ini agak serius.

Dr. S. Thiru

“Saya minta rakyat Malaysia sama-sama memberi sokongan kepada gabungan NGO ini dalam usaha mendesak kerajaan agar menangani permasalahan ini secara serius bukan seperti melepaskan batuk di tangga.

“Kita sedia lakukan apa saja asalkan suara kita didengar oleh kerajaan, sama ada melalui memorandum, perarakan secara aman atau turun ke lapangan jumpa pihak PBT dan sebagainya.

“Kalau kerajaan tidak ada kaedah, kita ada solusi untuk menangani masalah ini. Beri peluang dan ruang untuk kita jumpa kerajaan,” katanya.

Beliau juga berkata, dengan adanya warga asing yang tinggal secara haram di negara ini, ia secara tidak langsung merampas hak rakyat Malaysia.

Katanya, NGO juga minta kerajaan memantau tindakan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikatakan mengeluarkan kad sewenang-wenangnya kepada pelarian.

Malah, katanya, ada dalam kalangan warga asing yang tinggal secara haram mengambil kesempatan memohon kad UNHCR sebagai ‘lesen’ untuk tinggal lebih lama di Malaysia.

“Kita nak selamatkan negara dari kebanjiran warga asing, tetapi kita seperti abaikan tanggungjawab memantau pelarian memiliki kad UNHCR,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast