Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing melakukan gimik perasmian Festival Budaya Putarajaya 2023 di Dataran Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 30 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama rakan strategik Perbadanan Putrajaya dan Istana Budaya menganjurkan Festival Budaya Putrajaya 2023 di Dataran Putrajaya di sini mulai 28 September hingga semalam.

Menurut MOTAC, matlamat penganjuran program itu adalah untuk mendekatkan masyarakat umum dan antarabangsa dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia serta mempromosi pelbagai produk pelancongan di negara ini khususnya di Putrajaya.

Katanya, perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dan turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr. Fadlun Mak Ujud.

“Bertemakan ‘Perpaduan Melalui Seni Budaya’, program ini mengukuhkan semangat untuk hidup dalam harmoni dan semangat perpaduan melalui seni, budaya dan warisan.

“Festival berskala mega sebegini di Putrajaya adalah sebagai salah satu usaha MOTAC dalam mempromosi produk pelancongan serta keunikan program yang mampu menarik tumpuan pelancong,” katanya dalam kenyataan media.

Antara pengisian menarik yang diatur sepanjang empat hari program adalah Putrajaya Culture Fun Run & Gathering yang menampilkan acara larian 5 km dengan berpakaian fradisonal, persembahan pentas bercirikan tradisional dan kreasi dengan suntikan semangat kemerdekaan, penjagaan seni, pencungkilan bakat, pameran, demonstrasi makanan warisan, penjualan produk kraf serta pertandingan serta kuiz seni budaya dan pelancongan.

Penganjuran Festival Budaya Putrajaya kali ini juga menyaksikan satu lagi catatan sejarah tercipta dalam Malaysia Book of Records melalui penganjuran Konsert Mega Dikir Barat & Paluan Rebana berskala antarabangsa pertama diringi Orkestra Tradisional Malaysia.

 

Persembahan tarian orang Iban dari Sarawak pada Majlis Perasmian Festival Budaya Putrajaya 2023 di Dataran Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 30 SEPTEMBER 2023.

Lima segmen persembahan dipertontonkan kepada khalayak yang hadir pada majlis perasmian iaitu Paluan Buka Panggung dan Bertabuh, Persembahan Lagu Jogho, Battle Tukang Karut, Lagu Rampaian serta Dikir Kreasi diiringi oleh 230 pemain rebana dan 200 orang awak-awak.

Antara artis jemputan yang memeriahkan konsert mega tersebut ialah Syamel, Liza Hanim, Bunga Isme, Amsyar Leee, Nadeera serta persembahan tarian-tarian etnik tradisional pelbagai kaum.

Peserta dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melakukan persembahan Dikir Barat pada perasmian Festival Budaya Putarajaya 2023 di Dataran Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 30 SEPTEMBER 2023

Turut menarik perhatian adalah penganjuran Coffee Republic dengan penglibatan 80 gerai pelbagai jenama kopi dan menu pilihan juadah serasi kopi yang dibawa khas oleh Perbadanan Putrajaya.

Terdapat juga pertandingan Barista Latte Art Amatur dan Pertandingan Kopi Tarik yang menarik perhatian pengunjung.

Penari dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melakukan persembahan pada perasmian Festival Budaya Putarajaya 2023 di Dataran Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 30 SEPTEMBER 2023.

MOTAC juga berharap penganjuran festival itu dapat mengangkat potensi destinasi pelancongan, seni dan budaya Malaysia bukan sahaja kepada masyarakat tempatan malah di mata dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast