Fadhlina Sidek

KUANTAN – Sebarang keputusan berkaitan penutupan sekolah susulan situasi semasa jerebu bergantung kepada nasihat diberikan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Pedidikan Malaysia, Fadhlina Sidek bagaimanapun berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) masih kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sehingga menerima arahan seterusnya.

“Kita memang ada garis panduan kita dan kita kekal dengan garis panduan tersebut. Kita juga minta semua sekolah supaya mematuhi garis panduan tersebut.

“Maknanya, kalau Indeks Pencemaran Udara (IPU) lebih daripada 100, maka tiada aktiviti luar boleh dilaksanakan dan ikut garis panduan tersebut,” katanya.

Fadhlina berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah Kuantan (UnIPSAS) di sini hari ini.

Fadhlina turut menegaskan, garis panduan itu terpakai kepada semua dan mesti dipatuhi bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini.

Jumlah kawasan mencatat bacaan IPU kategori tidak sihat meningkat kepada 16 merangkumi sembilan negeri setakat 9 pagi ini.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan Cheras di ibu kota merekodkan IPU tertinggi dengan bacaan 164, diikuti Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan yang masing-masing mencatat bacaan pada tahap 163 dan 158.

Bacaan IPU kategori tidak sihat juga dilaporkan di kawasan Putrajaya pada tahap 156; Petaling Jaya, Shah Alam dan Banting di Selangor (157); Port Dickson di Negeri Sembilan (156); selain tiga kawasan merekodkan bacaan pada tahap 153 iaitu Bukit Rambai di Melaka; Batu Muda, Kuala Lumpur dan Johan Setia di Selangor.

Turut mencatat bacaan IPU melebihi 100 ialah Klang, Selangor (152); Alor Gajah, Melaka (138); Taiping, Perak (137); Seberang Jaya, Pulau Pinang (107) dan Tangkak, Johor (104). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kawasan catat IPU tidak sihat meningkat kepada 16

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast