Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda Wilayah Mempaga di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 02 OKTOBER 2023.

BENTONG – Beberapa isu yang membelenggu masyarakat Felda seperti lampu jalan, internet, klinik desa dan pusat dialisis akan diselesaikan dengan segera.

Jaminan itu diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan masyarakat Felda Chememoi hari ini.

Katanya, penyelesaian terhadap permasalahan tersebut akan diuruskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Kalau dulu Felda ini di bawah satu kementerian sahaja, sekarang ini saya kata pada Menteri Pendidikan semua sekolah Felda kamu kena jaga seperti mana yang di luar, Menteri Kesihatan juga, semua kena diselaraskan supaya dapat perhatian lebih baik.

”Saya fikir dalam masa setahun dua ini, kita beri perhatian lebih baik dan terbaik yang pernah kita lakukan. Itu iltizam saya,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi, di Bentong pada hari ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil Mohamad Shariff dan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Datuk Amizar Abu Adam turut hadir.

Walaupun kehadiran Anwar menjelang PRK Pelangai namun tiada sebarang pengumuman dibuat untuk peneroka Felda.

”Saya tak ada pengumuman baru sebab kita musim pilihan raya saya tidak mahu salah faham,” katanya. – MalaysiaGazette