KUALA LUMPUR – Yayasan Perak sewajarnya mengambil tindakan atau memberi peringatan terhadap mana-mana pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri berkenaan yang didapati menampal lambang parti pada kotak makanan yang diedarkan kepada rakyat.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, yayasan tersebut tidak sepatutnya menghukum semua ADUN khususnya dari pembangkang.
Pada masa yang sama, beliau meminta Yayasan Perak meneliti perkara tersebut kerana mungkin kotak makanan terbabit disediakan dengan menggunakan peruntukan ADUN sendiri.
“Jika dakwaan yayasan itu benar, sewajarnya pusat khidmat ADUN terbabit diberikan peringatan atau tindakan dan bukannya menghukum kesemua ADUN terutamanya dari pembangkang.
“Menghukum secara umum satu kesalahan terpencil adalah bersifat tidak adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, Pengurus Pentadbiran Yayasan Perak, Mohamad Hidayat Abd Halim berkata, pihaknya tidak akan menyalurkan bantuan kotak makanan melalui pusat khidmat ADUN selepas menerima aduan terdapat pihak tertentu yang membungkus semula serta menampal pelekat tertera logo parti politik.
Katanya, mulai bulan lalu, Yayasan Perak mengagihkan terus kotak makanan berkenaan kepada rakyat yang memerlukan dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Razman memberitahu, Pas Perak berpendirian agar bekalan kotak makanan terus diedarkan melalui pusat khidmat ADUN seperti yang diamalkan sebelum ini.
Beliau menambah, pusat khidmat ADUN adalah tempat untuk rakyat yang berdepan kesusahan mengadu.
“Pas melihat pemberian melalui NGO adalah bersifat muslihat politik kerana tiada kriteria jelas dan terdedah kepada manipulasi.
“Pemberian melalui NGO lebih terdedah kepada pelbagai masalah kerana NGO tidak mempunyai tanggungjawab langsung kepada rakyat berbanding pusat khidmat ADUN yang menjadi tempat rujukan masalah rakyat,” jelasnya. – MalaysiaGazette