Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bercakap kepada media selepas Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan bertemu dengan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How malam ini bagi menyelesaikan isu berkaitan videonya tafsiran ayat al-Quran.

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pertemuan dengan Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP itu bagi mendapatkan gambaran sebenar dan penjelasan secara harmoni.

“Ye, saya akan berjumpa dengan beliau (Howard) malam ini. Insya-Allah untuk bincang dari hati ke hati macam berdialog dengan kawan.

“Sambil itu kita ambil peluang terangkanlah macam mana kedudukan dalam Islam berkaitan dengan al-Quran dan sebagainya kepada beliau,” jelasnya.

Terdahulu beliau menghadiri Program Santun Kasih Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak hari ini.

Sebelum ini, Horward memetik ayat al-Quran berhubung konsep taat kepada ulil amri (pemerintah) dalam ayat 59 surah al-Maidah namun menerima kritikan pelbagai pihak termasuk ada mendakwa beliau melakukan provokasi.

Pada masa sama , beliau turut mempersoalkan pendirian Pas ketika parti itu bersama DAP dalam Pakatan Rakyat apabila parti itu sendiri menggalakkan orang bukan Islam menyelami maksud dan maqasid di sebalik al-Quran.

Namun, selepas lebih seminggu menjadi sasaran, Howard tampil memohon maaf selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Beliau berkata, permohonan maaf itu dibuat selepas mengambil kira saranan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegurnya supaya tidak mengulangi perbuatan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran. – MalaysiaGazette