Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menanafikan beliau memfitnah ahli korporat, Tan Sri Vincent Tan atau syarikatnya, Berjaya Land Berhad.

Sebaliknya Menteri Besar Kedah itu berkata, ucapan beliau ketika program Jelajah Mega PN Best baru-baru ini merujuk kepada isu tatakelola yang berlaku dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), khususnya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, sebagai pembangkang beliau bertanggungjawab untuk bercakap dan mendedahkan isu-isu tatakelola dalam pentadbiran ahli politik PH-BN.

Muhammad Sanusi yang menjawab penyataan pembelaan dalam kes saman difailkan oleh Vincent Tan berkaitan projek Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) berkata, beliau tidak pernah membuat sebarang pertuduhan bahawa Vincent Tan seorang yang korup.

Sebaliknya kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, penduduk Malaysia tahu beliau adalah seorang Menteri Besar yang memberikan keutamaan kepada golongan bawahan dan bukan dalam korporat serta kaya raya.

Pada pada 29 September lalu, Vincent Tan dan Berjaya Land memfailkan saman fitnah terhadap Muhammad Sanusi yang didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah pada program Jelajah Mega PN Best pada 2 Ogos lalu di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah.

Ahli korporat itu mengeluarkan surat tuntutan guaman kepada sanusi yang menuntut permohonan maaf daripadanya serta ganti rugi RM200 juta.

Ia merupakan antara saman selepas Muhammad Sanusi mendakwa bahawa Amirudin Shari terlibat dalam skandal dengan Vincent dalam projek pembersihan Sungai Klang. -MalaysiaGazette