Najib Razak
Pelekat yang diedarkan semasa program sesi dialog awam 'Keadilan Untuk Siapa?' sebagai tanda bersolidariti dengan Najib Razak.

KEBELAKANGAN ini, semakin kurang kedengaran suara pemimpin-pemimpin UMNO yang menyatakan solidariti dalam perjuangan menuntut keadilan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang selalunya lantang bersuara ialah Isham Jalil dan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. Yang lain pula kadang-kadang dan ramai yang menyepi sahaja.

Memang menyedihkan lebih-lebih lagi apabila mengenangkan Najib yang juga bekas Presiden UMNO meninggalkan jasa yang sangat besar kepada parti dan negara.

Situasi itu dapat dilihat pada program sesi dialog awam ‘Keadilan Untuk Siapa’ anjuran bersama Pertubuhan Rangkaian Kebajikan Erat Nusa Rakyat (BeNAR) Malaysia, Nusa Sejagat Malaysia, Malaysian Youth Activist (Malaya) dan UMNOSiswa di Wisma MCA, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Selain Isham yang hadir sebagai ahli panel, tidak kelihatan nama-nama besar yang lain dalam UMNO di dalam dewan kecil yang menjadi lokasi program tersebut.

Mujurlah ramai anak muda yang bersama UMNOSiswa hadir memenuhi dewan sekali gus membuktikan masih ada golongan muda dalam UMNO yang mengenang jasa Najib dan bersimpati dengan nasib beliau.

Najib Razak
Para peserta yang menghadiri sesi dialog awam ‘Keadilan Untuk Siapa’ di Wisma MCA, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Berbeza dengan parti-parti lain yang pernah turun berdemonstrasi di jalanan apabila pemimpin utama mereka disumbat ke dalam penjara, UMNO memilih untuk menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.

Malah, Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran yang juga ahli panel menyatakan, Najib tidak bersetuju jika penyokong-penyokongnya mengadakan demonstrasi jalanan.

Memang benar demonstrasi jalanan bukan kaedah terbaik untuk menuntut keadilan bagi Najib namun itu bukan alasan bagi pemimpin-pemimpin UMNO membiarkan Najib bersendirian.

Sekurang-kurangnya, tunjukkanlah muka dan bersolidariti dengan akar umbi dan penyokong UMNO yang masih setia bersama Najib yang kini tidak lagi berada di tampuk kuasa.

Mungkin juga faktor lokasi program menjadi sebab mengapa ramai pemimpin UMNO tidak dapat meluangkan masa hadir memberi semangat kepada penyokong-penyokong setia Najib.

Pasti ramai pemimpin UMNO lebih bersemangat untuk turut serta jika sesi dialog awam itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan bukannya di Wisma MCA.

Walau apa pun, Najib mengambil tindakan yang tepat apabila menjadikan rakyat sebagai ‘kroninya’ semasa beliau masih berkuasa dahulu.

Kini jelas terbukti bahawa rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang kepentingan tetap setia bersama Najib ketika beliau dalam kesusahan. Mereka tidak meninggalkan Bossku keseorangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. mana lokman adam yang kononnya panglima perang umno sgt. dah jadi bisu ke sebab dah terpaut dengan PH..dulu sibuk kata org tu broker org ni broker skrg diri sendiri broker ph..tendang keluar je si lokman adam tu.. tak guna simpan orang macam tu berjuang hangat-hangat tahi ayam. kokok berderai to ekor sendiri bergelumang tahi.

  2. jasa paling besar 1mdb lah . rakyat mendapat faedah bayar hutang sampai 7 keturunan hahaha syukur alhamdulillah. mata wang pun sekarang dah jatuh dah . itu pun hasil hutang kita lah tu .

Comments are closed.