Lelaki warga emas mati dibunuh dipercayai mangsa samun dalam kejadian di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Kedah semalam.

BALING – Seorang lelaki warga emas mati dibunuh selepas ditemui dalam keadaan lehernya dijerut manakala kaki serta tangannya diikat dalam rumah di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pukul 3.21 petang berhubung penemuan mangsa berusia 71 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Shamsudin.

Jelas beliau, sepasukan polis bergegas ke lokasi sebelum menemui mangsa di atas katil bilik utama dalam keadaan tangan, kaki diikat manakala leher dijerut.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kediaman teres setingkat dan berpagar itu didiami mangsa seorang diri selepas kematian isterinya lapan tahun lepas.

“Siasatan di lokasi kejadian juga mendapati tiada kesan pecah masuk namun barang kemas mangsa iaitu seutas rantai, sebentuk cincin yang dipakai serta dompetnya tiada.

Pihak forensik turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Semakan mendapati rumah mangsa tidak dilengkapi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) namun semakan CCTV rumah jirannya mendapati dua suspek lelaki tidak dikenali menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna gelap keluar dari rumah berkenaan kira-kira  3 petang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Shamsuddin, susulan itu pihaknya berjaya menahan dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut di kawasan Kuala Ketil pada pukul 3 pagi tadi.

”Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sik hari ini bagi mendapatkan perintah reman,” katanya.

Tambah Shamsudin, berdasarkan siasatan awal pihaknya percaya kejadian tersebut bermotifkan samun namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Tan See Yean di talian 019- 668 7687 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Baling di talian 04 – 470 8222 untuk menyalutkan maklumat bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette