KUALA LUMPUR – Juara Liga Super 10 kali, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit mempamerkan taring sebenar selepas menewaskan wakil Thailand, BG Pathum United 4-2 pada aksi kedua Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL), malam ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Pathum Thani di Bangkok, Thailand, skuad Harimau Selatan berbekalkan misi wajib menang, bagaimanapun dikejutkan dengan gol pendahuluan tuan rumah menerusi sepakan penalti Victor Cardozo pada minit kelima.

Namun, kegembiraan Pathum United dikendalikan Thongchai Sukkoki tidak kekal lama selepas Arif Aiman Hanapi bangkit menyamakan kedudukan buat JDT selang seminit kemudian.

Gerakan satu dua Heberty Fernandes memasuki kawasan kotak penalti, disudahi dengan rembatan Bergson da Silva ke penjuru kanan gol lawan memberikan gol kedua JDT pada minit ke-14.

Bersambung babak kedua, gol ketiga JDT terhasil apabila rembatan padu Bergson dalam kawasan kotak penalti ditampan kurang kemas penjaga gol Pathum, Chatchai Budprom sebelum Juan Muniz  bertindak pantas menyepak masuk bola yang melantun ke dalam gawang pada minit ke-53.

Tersentak dengan gol itu, Pathum United bangkit merapatkan jaringan selepas hantaran silang Chanathip Songkrasin ditanduk kemas Victor selang dua minit kemudian.

Gerakan solo dari luar kawasan kotak penalti Arif Aiman gagal disekat pertahanan lawan kemudian disudahi dengan rembatan leret menembusi gawang gol untuk gol keempat JDT.

Kedudukan 4-2 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus JDT berhasil membawa bekalan tiga mata pertama mereka dalam saingan peringkat Kumpulan I itu.

Terdahulu dalam perlawanan kumpulan sama, jaringan tunggal Kim Tae-Hwan sudah cukup membantu juara dua kali dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC meneruskan kecemerlangan menundukkan wakil Jepun, Kawasaki Frontale di Stadium Kawasaki Todoroki.

Kawasaki Frontale kini mendahului Kumpulan I dengan enam mata diikuti JDT dan Ulsan Hyundai masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan tiga mata yang hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Manakala BG Pathum United kekal ketandusan sebarang mata apabila belum berhasil meraih sebarang kemenangan setakat ini. – Bernama