Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk mengembalikan kes samannya terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas hari ini.

Azizah sepatutnya mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bersidang bersama-sama Datuk See Mee Chun dan Datuk Lim Chong Fong.

Pada prosiding hari ini, hakim wanita itu mendedahkan suaminya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman yang kini sudah bersara  pernah berkhidmat di bawah Tommy di Jabatan Peguam Negara.

Peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin kemudian memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan arahan lanjut daripada Najib terlebih dahulu sebelum tindakan susulan.

Selepas 10 minit penangguhan, peguam itu memaklumkan Najib mahu Azizah terus berada dalam panel mendengar kes rayuan tersebut.

Azizah kemudian membuat keputusan menarik diri daripada prosiding tersebut dengan alasan suaminya telah berkhidmat secara terus bawah Tommy.

“Penarikan ini adalah kerana kes ini melibatkan kepentingan awam jadi adalah lebih baik ianya mempunyai standard tinggi,” katanya sebelum menarik diri.

Pasukan mewakili Tommy bagaimanapun mengatakan pihaknya tidak mempunyai bantahan untuk Azizah terus mendengar kes itu.

Tommy pada 25 November tahun lalu telah dibenarkan membatalkan saman yang difailkan Najib berhubung dakwaan bekas peguam negara itu menyalahguna kuasa untuk mengemukakan pendakwaan membabitkan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib mendakwa dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan kes pengubahan wang haram.

Dakwa Najib tuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah dirancang lebih awal oleh Tommy dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Mantan Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perisytiharan Tommy melakukan penyelewengan dalam jawatan awam.

Najib menuntut ganti rugi RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terbabit. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Suami jaa hakim tarik diri..hakim macam ni bagus..Bukan mcm.Nazlan yg direct terlibat melalui Maybank tp tak tarik diri pun…nampak sangat…

Comments are closed.