ALOR GAJAH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sedang menyiasat dakwaan sebuah bas ekspres dipandu secara mengundur sejauh satu kilometer selepas terlepas susur keluar Simpang Ampat, Lebuh Raya Utara Selatan.
Jurucakapnya berkata, ia selepas pihaknya menerima penularan klip video berdurasi 43 saat dipercayai dirakam penumpang bas berkenaan ketika kejadian yang didakwa berlaku kira-kira 6 petang semalam.
“Bagaimanapun, setakat ini kami belum dapat sebarang aduan rasmi dari pihak yang merakam video tersebut.
“Kita juga sedang mengenal pasti maklumat berkaitan termasuk syarikat bas yang dimaksudkan itu,” katanya.
Sementara itu, klip video terbabit menunjukkan beberapa penumpang di dalam bas yang kebanyakannya warga emas mempersoalkan tindakan pemandu bas terbabit.
“Bas terlangsung (terlajak) susur keluar Simpang Ampat, Alor Gajah lebih kurang satu kilometer, kemudian bas mengundur ke belakang di lebuh raya dan masuk semula susur keluar.
“Perbuatan ini sangat-sangat merbahaya kepada kami penumpang bas tersebut dan berharap ada tindakan daripada pihak berwajib,” tulisnya. – MalaysiaGazette