Persembahan hamdolok oleh generasi kedua di Batu Pahat

KUALA LUMPUR – Mendengar namanya mungkin agak janggal untuk ramai di kalangan kita.

Namun jika kita sudah menonton persembahannya, pasti akan melihat persamaan yang ada dengan seni teater rakyat serantau yang lain, seperti boria, hadrah, dan mendu.

Dikatakan bermula sekitar 1930-an di Batu Pahat, Johor; hamdolok menggabungkan beberapa elemen unik, termasuklah nyanyian (qasidah dan nasyid), tarian (zapin Arab dan Melayu), muzik (gambus) dan lakonan (sketsa humor).

Nilai estetika persembahannya juga menggabungkan kesenian Timur Tengah dan masyarakat Melayu Johor.

Menurut Dr. Rosdeen Suboh, nama hamdolok adalah dari gabungan perkataan Arab ‘hamd’ iaitu pujian, manakala ‘dolok’ membawa tiga makna yang berbeza.

Pertama, ianya dikatakan berasal dari perkataan jawa ‘dhelok’ yang bermaksud melihat atau menonton; kedua perkataan melayu ‘olok-olok’ atau main-main; dan ketiga perkataan Arab iaitu Allah. “Maka teater rakyat hamdolok ini boleh dikatakan sebagai sebuah bentuk seni persembahan budaya komuniti Melayu dengan teras Islamik, iaitu pegangan tauhid kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruhNya,” jelasnya.

Hamdolok dikatakan telah diasaskan oleh Pak Rahmat Wayang di Batu Pahat, Johor, setelah diolah dari bentuk persembahan kaum Arab Badwi di Mekah, yang diceritakan kepadanya oleh Haji Osman Jahit. Dikatakan juga adat dan pementasan yang dimaksudkan adalah sempena meraikan hari kelahiran Baginda Rasulullah SAW pada 12 Rabiulawal.

Sama seperti pementasan teater rakyat serantau yang lain, hamdolok juga mempunyai beberapa watak utama yang tertentu. Untuk hamdolok, ada tiga watak utama, iaitu Pak Syed (watak lelaki berumur berbangsa Arab), Tok Penghulu (watak lelucon), dan Siti (watak wanita yang dilakonkan pelakon lelaki).

Bagi meneruskan kesinambungan usahanya melestari seni teater rakyat serantau yang bermula sejak 2014, Dr. Rosdeen akan menerbit dan mengarah sebuah pementasan hamdolok buat julung kalinya.

Pementasan yang akan diadakan pada 11 Oktober 2023 ini di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (UM) turut menerima sokongan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

“Pementasan ini secara tersuratnya tentunya bertujuan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai seni teater rakyat yang hampir pupus ini. Namun tujuan yang lebih besar adalah bagi memperkasakan kegiatan seni, budaya, dan warisan kepada masyarakat melalui kaedah teori dan praktikal.

“Di dalam pementasan ini nanti, para penonton juga menjadi sebahagian daripada produksi persembahan itu sendiri,” kata Rosdeen.

Menariknya, para penonton akan bersolat Maghrib berjemaah dan menikmati makan malam berdulang di atas pentas, sebelum pementasan bermula.

“Setelah pementasan berakhir akan diadakan sebuah diskusi ringkas bersama tenaga produksi utama, dan penonton akan pulang bersama sebungkus nasi berkat, sebagaimana tradisi Melayu Johor,” kata Rosdeen lagi. – MalaysiaGazette