Muhammad Faris Arriffin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berharap terus diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk terlibat dalam agenda pembuatan dan pembekalan baja bersubsidi kepada golongan pesawah di negara ini.

Pengurus Besarnya, Muhammad Faris Arriffin berkata, selain memiliki kilang pemprosesan baja di Gurun, Kedah dengan kapasiti pengeluaran mencecah 360,000 tan setahun, NAFAS juga mempunyai pelan strategik menangani isu kelewatan pembekalan baja subsidi yang diberi perhatian serius oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, masalah kelewatan baja dihantar ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) telah ditangani melalui pelaksanaan inisiatif “Zero Late Delivery”, satu langkah proaktif ke arah mentransformasikan rantaian sumber daripada perolehan, kepada pembuatan dan pembekalan ke pesawah.

“Bagi memastikan keterjaminan makanan dalam aspek pembuatan dan pembekalan baja bersubsidi berlangsung secara holistik, kami berharap NAFAS terus diberi kepercayaan sebagai ‘rakan penyelesaian’ kepada kerajaan dalam agenda penting ini.

“Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam aktiviti pembuatan dan pembekalan baja bersubsidi kepada pesawah, kita harap terus dapat berperanan dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran padi melalui bekalan bantuan input pertanian berkualiti, mencukupi dan sampai mengikuti jadual penanaman padi oleh pesawah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, penglibatan NAFAS dalam industri pembuatan baja kini sedang diberikan tumpuan agar hasil keluaran padi negara ditingkatkan melalui kerjasama dengan beberapa agensi seperti MARDI, Jabatan Pertanian, institusi pendidikan dan pihak-pihak berkepentingan.

Sebuah jentera pertanian melakukan pembajakan tanah.

Beliau berkata, pembuatan baja ini diharap dapat menghasilkan formulasi baja baharu yang ditambah baik bersama unsur organik dan prebiotik (unsur tambahan) yang memberi manfaat kepada pesawah untuk meningkatkan keberkesanan baja dan pemulihan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman.

Menerusi pembentangan Bajet 2024 tidak lama lagi, Muhammad Faris berkata, sewajarnya peruntukan disalurkan bagi penyediaan infrastruktur yang melibatkan kawasan tanaman luar jelapang yang mengalami isu pengairan dan perparitan dan menaiktaraf infrastruktur sedia ada bagi kawasan jelapang padi.

Jelasnya, pengurusan selenggaraan saliran pertanian yang berterusan terutamanya perparitan untuk tanaman dan keperluan pertanian dipertingkatkan bagi mengelakkan isu banjir berlaku yang mengakibatkan kerosakan dan pengurangan hasil pengeluaran pesawah.

NAFAS turut berharap pesawah mendapat tambahan peruntukan untuk Bantuan Subsidi Racun daripada RM200 per hektar ke RM500 per hektar yang melibatkan anggaran nilai peruntukan tambahan daripada RM120 juta ke RM300 juta dalam Bajet 2024 yang akan dibentangkan nanti.

Sebuah jentera pertanian melakukan pembajakan tanah.

Tambahan peruntukan bagi Bantuan Subsidi Racun ini diharap dapat memberi manfaat kepada pesawah dalam mengurangkan kos belian racun di pasaran luar dengan harga yang lebih tinggi, penambahan kuantiti dan pilihan racun lain berbanding pilihan semasa serta dapat mengurangkan belian racun tiruan atau yang tidak mendapat kelulusan Lembaga Racun Malaysia.

Selain itu, beliau turut mengharapkan peruntukan tambahan daripada RM20 juta ke RM55 juta bagi kawasan pengapuran sekitar 18,000 hektar ke 50,000 hektar. Peruntukan tambahan keluasan kawasan pengapuran pula dapat memendekkan pusingan pengapuran daripada 16 tahun ke 8 tahun (secara berperingkat) supaya kawasan tersebut sentiasa berada dalam pH yang optimum.

“Tambahan pula, NAFAS di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan agensi yang berkaitan sedang merancang untuk terlibat secara langsung dalam proses pengeluaran dan pembekalan Benih Padi Sah yang berkualiti, mencukupi dan tepat pada masa kepada pesawah,” katanya.

Selain itu, beliau turut menaruh harapan agar kerajaan mempertimbangkan insentif atau pengecualian cukai ke atas perbelanjaan modal untuk memperluas dan memperkasa penerimagunaan jentera yang bersesuaian bagi  mengatasi isu padi tumpah dan tanah jerlus.

Insentif ini juga dapat menggalakkan aplikasi pelbagai teknologi moden dan transformasi digital dalam sektor pertanian, ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast